2 bot karam, 4 nelayan hilang

2 bot karam, 4 nelayan hilang

Dalam kejadian pertama, seorang nelayan hilang selepas botnya karam pagi tadi di kawasan perairan Pulau Kendi , manakala tiga lagi hilang di perairan Kuala Muda, Penaga.

Dalam dua kejadian berasingan di perairan Pulau Pinang itu, seorang nelayan dilaporkan hilang selepas botnya karam pada 8.15 pagi tadi di kawasan perairan Pulau Kendi manakala tiga lagi nelayan hilang di perairan Kuala Muda, Penaga. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
KEPALA BATAS:
Empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka karam dalam dua kejadian berasingan di perairan Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian pertama, seorang nelayan yang juga tekong bot hilang selepas botnya karam pada 8.15 pagi tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Awis Kharni Abdul Rahman berkata, susulan itu pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan perairan Pulau Kendi.

“Kami menerima laporan memaklumkan bahawa tiga nelayan telah hilang selepas bot mereka karam namun hasil SAR, pihak bomba hanya berjaya menemui dua daripadanya, iaitu Tan Soon Gin, 30-an dan Pai San Chu Kaw, 40-an, iaitu warga Thailand,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik dan karam di perairan Kuala Muda, Penaga.

Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang Yusmin Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.46 pagi sebelum operasi SAR digerakkan di perairan itu.

“Berdasarkan maklumat, tiga nelayan itu adalah Mohd Firdaus Samsudin, Hazizul Zakaria dan Ruzidi Saad, kesemuanya berusia 34 hingga 44 tahun,” katanya.

Difahamkan semasa kejadian, hujan lebat dan angin kuat melanda kawasan perairan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.