Cubaan seludup daun ketum RM396,000 ke negara jiran gagal

Cubaan seludup daun ketum RM396,000 ke negara jiran gagal

Maritim Malaysia menemui longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara Kuala Kedah.

Maritim Malaysia berkata daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.2 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM396,000 di perairan muara Kuala Kedah, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak, berkata sebelum itu pihaknya mendapat maklumat berhubung aktiviti pemunggahan yang mencurigakan di kawasan itu.

“Berikutan itu, sekitar 6 pagi tadi sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah diatur gerak bagi mengesan aktiviti ini.

Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia itu berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 220 bungkusan plastik ditemukan yang di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 2.2 tan dan dipercayai baru saja diletakkan di lokasi terbabit.

Menurutnya, daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.

“Semua hasil rampasan daun ketum itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.