
Ramasamy membandingkan tindakan polis terhadap dirinya dan seorang ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, serta kurangnya tindakan dalam laporan terhadap Mufti Perak dan seorang pendakwah.
Katanya, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, P David Marshel dipanggil ke Bukit Aman pada Sabtu untuk memberi kenyataan berhubung satu klip video yang dimuat naiknya berkaitan penukaran agama anak Loh Siew Hong tanpa persetujuan ibu tunggal itu.
Ramasamy berkata, beliau dipanggil ke Bukit Aman pada 3 Mac lalu atas isu sama.
“Sekarang, David telah dipanggil kerana beberapa individu membuat laporan polis terhadapnya dan kertas siasatan sudah dibuka.
“Tetapi, apa yang berlaku kepada laporan polis terhadap Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin dan 600 laporan polis terhadap pendakwah Zamri Vinoth Kalimuthu?
“Adakah polis sudah memanggil mereka untuk siasatan lanjut berhubung laporan dibuat terhadap mereka?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa polis tidak menyiasat pertubuhan Islam seperti Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), BERJASA, PUTRA dan PERKASA yang sengaja mencetuskan ketegangan kaum berhubung kes Loh.
“Saya tidak pasti sama ada polis masih kekurangan bukti untuk membuka kertas siasatan atau jika mereka keberatan menyiasat Asri, Zamri dan pertubuhan ini. Saya tidak nampak sebarang perkembangan mengenai laporan polis yang saya buat terhadap tiga individu dan pertubuhan ini.”
Ramasamy berkata, beliau keliru kenapa David, yang membantu Loh bersatu dengan anak-anaknya berdasarkan perintah mahkamah, disiasat tetapi mereka yang secara terbuka melanggar undang-undang dan Perlembagaan belum dipanggil.
Katanya, undang-undang dan penguatkuasaan perlu adil kepada semua dan polis tidak boleh berat sebelah dalam menjalankan tugas mereka.
“Asri dan Zamri perlu disiasat lanjut kerana menjadikan kes Loh sebagai isu perkauman yang mencetuskan ketegangan kaum dalam negara.”
Pada 21 Feb lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.
Ramasamy lantang mengkritik penukaran agama kanak-kanak itu, dengan berkata ia jelas melanggar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 bahawa penukaran agama kanak-kanak di bawah umur perlu mendapat persetujuan ibu dan bapa.