Lelaki maut dilanggar rakan akibat selisih faham ketika mabuk

Lelaki maut dilanggar rakan akibat selisih faham ketika mabuk

Dua lelaki serta seorang wanita berusia 32 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga serbuan di Kepong dan Rawang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati mangsa sebelum itu bertengkar mulut dengan dua rakan lelakinya ketika minum di sebuah kedai di Metro Prima Kepong pada 12.30 tengah malam Selasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut dilanggar rakannya di Jalan Rimbunan Raya 1, Kepong, di ibu negara pada Selasa lalu, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika mabuk.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa pada 5.30 petang kelmarin memaklumkan suaminya yang juga seorang peladang berusia 48 tahun meninggal dunia di depan sebuah bank.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa bertengkar mulut dengan dua rakan lelakinya ketika minum di sebuah kedai di Metro Prima Kepong pada 12.30 tengah malam kelmarin.

“Selepas pertengkaran itu dileraikan, mangsa beredar dengan rakan wanitanya menaiki kenderaan utiliti sukan Honda HRV milik lelaki berkenaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan selepas menyedari diekori sebuah SUV Kia Sportage dan sebaik keluar dari kenderaan, mangsa dilanggar suspek sehingga terjatuh sebelum melarikan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia 4.40 petang kelmarin. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan di kepala.”

Susulan laporan itu katanya, tiga serbuan dilakukan di Kepong dan Rawang, Selangor semalam yang membawa kepada penahanan dua lelaki serta seorang wanita berusia 32 hingga 44 tahun.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas dua kenderaan, iaitu Honda HRV milik mangsa dan Kia Sportage yang dipandu suspek utama, yang juga pembekal makanan laut berusia 38 tahun ketika kejadian.

“Dengan penahanan tiga suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya sambil menambah hasil semakan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 untuk membantu siasatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.