2 budak maut, seorang parah motosikal langgar pokok

2 budak maut, seorang parah motosikal langgar pokok

Polis berkata penunggang dan pembonceng tengah berusia 13 serta 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Norhisham Mustapar
Ketua Polis Jempol Norhisham Mustapar berkata tiga pelajar menaiki sebuah motosikal terbabas di Jalan Taman Musytari, dengan dua maut dan seorang lagi cedera di kepala dan patah kedua-dua kaki. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Dua rakan maut, manakala seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir, Jempol.

Ketua Polis Jempol, Norhisham Mustapar, berkata nahas pada 5.55 petang semalam menyebabkan penunggang dan pembonceng tengah berusia 13 serta 10 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan.

Beliau berkata, seorang lagi pembonceng berusia 13 tahun dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat cedera di kepala dan patah kedua-dua kaki.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga pelajar perempuan itu menaiki sebuah motosikal Honda C100 dari arah Taman Mawar ke Taman Musytari.

“Setiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke bahu jalan kanan dan melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal melalui talian 016-3627746 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.