BN perlu umum cita-citanya untuk PRU15, kata Shahril

BN perlu umum cita-citanya untuk PRU15, kata Shahril

Naib Ketua Pemuda Umno itu berkata, dengan cara itu, BN tidak perlu takut dengan ancaman 'tekan butang'.

Shahril Hamdan berkata, jika BN tidak membentuk sebarang pakatan politik, ia tidak perlu berkongsi kuasa sekiranya memenangi PRU15 nanti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, Barisan Nasional (BN) perlu mengumumkan hasratnya tidak mahu berkongsi kuasa, jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, BN juga tidak perlu takut terhadap ancaman “tekan butang”, jika tidak membentuk sebarang pakatan politik menjelang PRU15.

“Saya rasa cakap terbuka lebih baik, kita jelas apa yang kita tuju. Biar orang luar parti pun tahu, tambahan lagi sistem demokrasi, rakyat yang pilih, jadi tak salah kita pasang cita-cita,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Lebih baik ‘declare’ cita-cita atas pentas terbuka, daripada orang-orang tertentu terkantoi cerita-cerita, merasuah, nak membeli Ahli Parlimen, tu bukan cara kita. Kalau itulah cara kita nak menang mutlak…orang gelakkan kita, perlekehkan kita.”

Shahril yang juga Ketua Penerangan Umno meminta ahli parti tidak bertelingkah sesama sendiri, sebaliknya terus fokus untuk memenangi PRU15.

Meskipun pembangkang cenderung bergaduh sesama sendiri, katanya, mereka boleh mengetepikan perbezaan dan bekerjasama sejurus sebelum PRU.

“Jangan lupa mereka boleh bergabung atas semangat ‘Asalkan Bukan Umno (ABU)’ seperti mana sebelum PRU 2014.

“Tak mustahil PRU15, boleh jadi dua penjuru. BN lawan ‘the rest’ (semua pembangkang), jadi jangan selesa sangat dan jangan bazirkan peluru antara kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.