Pusat undi ditutup ikut waktu diwarta, kata Menteri

Pusat undi ditutup ikut waktu diwarta, kata Menteri

Pusat pengundian yang tular selepas mendapat bantahan daripada seorang wanita dibuka hanya bagi 170 pengundi sahaja dan telah digazet ditutup pada 2 petang.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, waktu penutupan sesetengah pusat mengundi diwartakan mengikut pelbagai faktor, termasuk jumlah pengundi. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Dakwaan terdapat pusat pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, semalam, yang ditutup awal adalah tidak benar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sebaliknya, Wan Junaidi menjelaskan bahawa waktu penutupan sesetengah pusat pengundian diwartakan pada waktu tertentu, mengikut pelbagai faktor termasuk jumlah pengundi.

“Semalam, terdapat aduan seorang wanita yang bertanyakan kenapa pusat mengundinya ditutup pada pukul 2 petang. Sebenarnya, (saya dimaklumkan) pusat pengundian itu dibuka hanya untuk 170 pengundi dan telah digazet ditutup pada pukul 2 petang.

“Jadi ia mesti ditutup pada waktu itu, jika masih dibuka selepas pukul 2, tidak boleh pakai (undi tidak boleh diambil kira). Ini undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kampung Tanjung Bako, di sini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, keputusan menetapkan waktu pembukaan pusat mengundi pilihan raya negeri tidak terletak pada individu atau pihak polis.

“Ini bukan keputusan individu atau polis, perkara itu sudah digazet dan sudah dimaklumkan kepada semua pihak. Sepatutnya, pengundi perlu mengetahui pusat mengundi mereka tutup pukul berapa? supaya tidak lambat,” katanya.

Semalam, tular video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita yang marah di hadapan sebuah pusat pengundian kerana tidak dapat masuk untuk mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.