
Timbalan Pengerusi, Dzulkefly Ahmad, berkata ia penting bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) Johor menentukan hala tuju strategik bagi berdepan PRN16.

Katanya, beberapa kenyataan daripada pimpinan Umno sebelum ini menunjukkan BN tidak bersedia berunding bersama PH untuk kelangsungan politik di Johor.
“Antara lain kami melihat pentingnya penglibatan PH Johor dalam usaha membangunkan negeri ini dan jika Umno-BN tidak mahu melibatkan PH maka dari situlah timbulnya cadangan untuk PH tidak bersama dalam PRN akan datang.
“Umno-BN seharusnya berjiwa besar dalam menerima teguran bukan dengan melenting sehingga menuduh dan memperlekehkan rakan dalam PH yang juga merupakan komponen kerajaan perpaduan di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata isu sebenar ingin dipertikaikan pihaknya ialah pembentukan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengiktiraf sumbangan rakan dalam PH Johor, terutama soal pelantikan politik.
“Kenyataan dikeluarkan Naib Pengerusi Zuhan Zain sebelum ini adalah bertujuan untuk menggariskan strategi PH dalam berhadapan PRN16. Ia tiada langsung kaitan dengan Umno yang menerajui kerajaan Johor hari ini,” katanya.
Pada 10 Mei lalu, Zuhan dilaporkan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan PH akan bertanding di semua kerusi DUN Johor tanpa kerjasama mana-mana gabungan lain termasuk BN dalam PRN akan datang.
Katanya, perkara itu antara dua senario sedang dipertimbangkan oleh gabungan tersebut dalam merangka strategi menghadapi PRN.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, mengecam tuntutan jumlah kerusi oleh Amanah itu yang disifatkan tidak wajar dan memualkan.
Beliau berkata, tidak wajar membuat tuntutan sedemikian ketika negara termasuk Johor sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan perkembangan dasar perdagangan antarabangsa.
PRN Johor pada 2022 menyaksikan kejayaan BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN. Manakala, PH pula menang 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga manakala PKR dan Muda masing-masing satu.