‘Rujuk rakan kamu’, Pemuda Umno Johor beritahu Amanah

‘Rujuk rakan kamu’, Pemuda Umno Johor beritahu Amanah

Pemuda Umno Johor berkata kenyataan Amanah Johor yang tidak menolak PH bertanding semua kerusi membelakangkan semangat gabungan.

amanah
Amanah menang satu kerusi daripada 20 DUN ditandingi pada PRN 2022. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno Johor membidas Amanah yang disifatkan memualkan kerana menuntut kerusi pilihan raya ketika rundingan rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) belum muktamad.

Ketuanya Noor Azleen Ambros berkata Naib Ketua Amanah Johor Dr Zuhan Zain dilihat lebih sudu dari kuah apabila mengatakan PH mungkin bertanding solo dan tidak menolak bertembung dengan BN pada pilihan raya

“Rundingan kerusi bukan urusan setiap parti secara individu, tetapi antara gabungan iaitu BN dan PH.

“Jadi rujuklah koalisi kalian dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang memualkan,” katanya dalam kenyataan.

“Ukurlah baju di badan sendiri. Amanah Johor hanya berhak mempertahankan satu kerusi DUN sahaja.”

Sabtu lalu, Zuhan berkata PH Johor perlu segera membuat ketetapan sama ada menghadapi PRN Johor bersama BN atau bergerak secara solo.

Katanya, keputusan itu penting bagi membolehkan PH Johor memfokuskan persiapan gerak kerja menghadapi PRN yang diramal berlangsung seawal tahun depan.

Menurutnya, langkah awal juga perlu diambil untuk membincangkan soal agihan kerusi sekiranya kerjasama dengan BN diteruskan atau sebaliknya.

Dalam PRN 2022, Amanah hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandinginya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.