PDRM ‘ambil masa’ beri maklum balas tentukan pertemuan untuk siasatan kes suami Zeti, kata polis Singapura

PDRM ‘ambil masa’ beri maklum balas tentukan pertemuan untuk siasatan kes suami Zeti, kata polis Singapura

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Kamarudin Md Din sebelum ini berkata lonjakan kes Covid-19 akibat varian Omicron di Malaysia dan Singapura telah mengganggu proses siasatan.

PETALING JAYA:
Polis Singapura telah menangani segera segala permintaan Bukit Aman untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, Tawfiq Ayman berkaitan 1MDB.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan polis Malaysia menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Feb lalu.

Namun Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan itu antara pertengahan hingga hujung Mac.

Menurut polis Singapura, Bukit Aman juga sebelum itu memohon untuk menghantar pasukannya ke Singapura pada 2 Disember lalu.

CAD menjawab permintaan itu empat hari kemudian menyatakan persetujuannya kepada perjumpaan itu dan mencadangkan beberapa tarikh untuk lawatan berkenaan, namun perkara itu tidak dimuktamadkan, menurut kenyataan itu.

Pada 3 Mac, Bukit Aman berkata ia sedang menunggu lampu hijau dari rakan sejawat di Singapura untuk merentasi sempadan bagi meneruskan siasatan dakwaan rasuah terhadap Tawfiq.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kamarudin Md Din memberitahu FMT bahawa lonjakan kes Covid-19 akibat varian Omicron di Malaysia dan Singapura telah mengganggu proses siasatan.

“Kita akan ke sana segera sebaik mereka membenarkan kita merentasi sempadan,” kata Kamarudin.

Pada 8 Mac, Timbalan Menteri Undang-undang Mas Ermieyati Samsudin pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis sepatutnya meneruskan siasatan di Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian ekoran pintu sempadan ditutup.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki sebelum ini dipetik berkata pihaknya menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan terhadap Tawfiq.

Azam berkata SPRM hanya dipertanggungjawabkan memastikan dana 1MDB yang berkaitan dikembalikan ke Malaysia daripada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.