Hampir 68% kanak-kanak belum divaksin, kata KKM

Hampir 68% kanak-kanak belum divaksin, kata KKM

Negeri mencatatkan liputan rendah vaksinasi terhadap kanak-kanak ialah Kelantan, Terengganu, Sabah dan Kedah.

Dr Saidatul Norbaya Buang berkata, ibu bapa yang enggan menerima suntikan Pfizer bagi anak mereka boleh memohon untuk vaksin Sinovac.
PETALING JAYA:
Hampir 68% kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun belum menerima vaksin Covid-19, dengan kadar harian vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) hanya mencapai 12,000 hingga 20,000 orang sehari.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dan pakar perubatan kesihatan awam, Ketua Sektor Kesihatan Sekolah dari Kementerian Kesihatan, Dr Saidatul Norbaya Buang menasihatkan ibu bapa membawa anak mendapatkan vaksinasi segera bagi melindungi mereka daripada jangkitan serius.

Katanya, kanak-kanak termasuk yang baharu mendapat dos pertama vaksin Covid-19 masih berisiko dijangkiti virus itu.

“Dari segi pelaksanaan, PICKids sudah dimulakan pada 3 Feb, enam minggu lalu. Dalam tempoh enam minggu sehingga 13 Mac, hampir 1.15 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendapat dos pertama, iaitu bersamaan 32.2% kanak-kanak di Malaysia.

“Masih ada 68% belum tampil untuk vaksinasi, dengan negeri mencatatkan liputan rendah seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Kedah. Bagi Kelantan, capaian vaksinasi (setakat ini) ialah 8.8%, berbanding 62% di Sarawak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, liputan masih rendah itu menyebabkan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) memutuskan untuk membuka semua pusat vaksinasi secara “walk in” dan meluluskan Sinovac digunakan sebagai vaksinasi kedua untuk kanak-kanak.

“Bagi meningkatkan liputan vaksinasi, (sempena) cuti sekolah ini juga, kita buka semua pusat vaksinasi secara ‘walk in’. Malah, ibu bapa jika tidak mahu suntikan Pfizer, boleh maklumkan untuk mohon Sinovac.

“KKM juga mempergiat pembabitan sosial bersama rakan kerjasama kami, antaranya ibu bapa, agensi pemegang taruh berkaitan kesihatan, pendidikan, sosial malah agama bagi meningkatkan liputan, khususnya di negeri dengan liputan rendah.”

Mengenai kebimbangan masyarakat mungkin kanak-kanak belum divaksinasi tidak dibenarkan ke sekolah, beliau berkata, ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).

“Objektif KKM menyasarkan seramai mungkin kanak-kanak divaksinasi supaya sekolah boleh dibuka dengan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.