
Bagi Amiera Nabila Binti Mohd Shahrin, 28, Iskandar Shah Mohd Shahrin, 27, dan Amiera Nur Syafiqah Mohd Shahrin, 23, itu adalah pengalaman yang cukup manis dalam menunaikan kewajipannya sebagai pengundi.
Mereka juga antara pengundi paling awal tiba di pusat mengundi jam 8.20 pagi di Dewan Kampung Melayu Majidee bagi kerusi DUN Larkin.
Menurut Iskandar, dia yang bekerja di Singapura pulang pada 2 Mac lalu semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
“Saya kerja di Singapura sudah dua tahun, sebelum ini tak pernah mengundi, kali ini pertama kali mengundi. Selepas buang undi petang ini saya akan terus balik ke Singapura,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi.
Sementara itu bagi Amiera Nur Syafiqah, dia mengakui gementar apabila pertama kali ingin membuang undi.
“Rasa teruja ada, gementar pun ada sebab pertama kali undi lepas itu kena celup jari dalam botol dakwat,” katanya.
Bagi Amiera Nabila pula, dia menyeru kepada semua pengundi muda supaya keluar menunaikan tanggungjawab dan tidak melepaskan peluang itu selepas kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan kelulusan pendaftaran pengundi automatik.
Johor mencatatkan pertambahan hampir 30% pengundi, dengan pertambahan seramai 749,731 pengundi muda susulan pendaftaran pengundi automatik.
Keluarga Liverpool mengundi di Larkin

Sementara itu, turut mencuri tumpuan sekeluarga yang juga penyokong tegar Liverpool hadir di pusat mengundi itu dengan mengenakan jersi pasukan itu untuk membuang undi.
“Kami sekeluarga memang penyokong setia Liverpool,” kata Mohamad Muzzafar Mustapha kepada FMT.