
Perwakilan Pemuda PAS Sabah, Jumaidin Lakalla, berkata jika parti itu gagal memenangi sebarang kerusi di negeri itu, ia akan memberi persepsi parti Islam tersebut ditolak rakyatnya.
“PRN Sabah bukan sahaja pilihan raya negeri tetapi ia penentu masa depan PAS Sabah. Kita mahu lahir ‘anak sulung’ (kerusi pertama) di Sabah.
“Saya minta semua Pemuda PAS negeri sama-sama bantu dalam PRN akan datang,” katanya ketika membahas ucaptama ketua Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-66 di Kompleks PAS Kedah.
Jumaidin berkata, bagi menghadapi PRN itu, PAS Sabah sudah menyusun jentera hingga ke peringkat kampung, dan pulau-pulau serta memberi fokus kepada belia dan wanita.
Katanya, PAS Sabah turut membawa agenda ‘Sabah untuk Malaysia’, sambil mencadangkan timbalan perdana menteri atau perdana menteri dipilih dari negeri itu.
“Ini bagi memastikan suara rakyat Sabah termasuk dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan royalti minyak dapat diangkat ke peringkat nasional,” katanya.
Jumaidin berkata percaturan politik berlebihan akibat terlalu banyak parti politik di Sabah hingga mencecah 24 parti menyebabkan rakyat muak.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan pengundi terutama anak muda di Sabah hilang minat untuk turun mengundi kerana berpendapat undi mereka tidak mengubah apa-apa keadaan di negeri itu.
Menurutnya, kira-kira 50% pengundi Sabah dalam PRN nanti terdiri daripada golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun, yang menjadi penentu utama hala tuju politik negeri, bahkan negara.