Hadi yakin PAS tawan Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16

Hadi yakin PAS tawan Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16

Presiden PAS itu berkata parti itu juga yakin untuk menambah kerusi di negeri selatan tanah air termasuk di Sabah.

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata PAS perlu mengekalkan sokongan pengundi muda yang dianggap sebagai kumpulan penting yang bakal menjadi penentu kemenangan pada PRU akan datang.
ALOR SETAR:
PAS yakin kemenangan parti itu bersama Perikatan Nasional (PN) dalam PRU akan datang bakal menyaksikan mereka menawan Pahang, Perak dan Selangor, selain mempertahankan empat negeri sedia ada.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata PAS juga yakin untuk menambah kerusi di negeri selatan tanah air termasuk di Sabah yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.

“Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dikuasai PAS dan PN adalah ‘Negeri Pangkalan’ yang wajib dipertahankan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

“Kemenangan seterusnya akan disumbangkan di Pahang, Perak, dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi PAS dan PN di peringkat Parlimen,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kompleks PAS Kedah.

Katanya, PAS juga perlu melonjakkan pencapaian parti itu di negeri selatan dan juga di Sabah yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi.

Hadi juga menyeru sayap pemuda dan wanita PAS untuk terus berusaha mengekalkan sokongan pengundi muda yang dianggap sebagai kumpulan penting yang bakal menjadi penentu kemenangan pada PRU akan datang.

“Pemuda dan Muslimat mesti agresif menggerakkan program yang dekat dengan jiwa anak muda dan wanita, merentasi batas politik dan kaum.

“Medan pertemuan perlu dipelbagaikan agar kelompok penting ini dapat didekatkan dengan perjuangan Islam sekali gus mengukuhkan sokongan menjelang pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.