
“Dalam bola sepak, apabila kita berlawan, bukan boleh ada penyerang sahaja. Letak satu ‘striker’, yang lain tidak perform, susahlah. Jadi kita kena (berlawan) secara berpasukan.
“Kalau pasukan itu betul, mantap, tidak ada percanggahan khususnya untuk berdepan pilihan raya, InsyaAllah, 50% kita sudah boleh menang. Yang lain bergantung isu berbangkit dalam kerajaan dan negara,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Shah Alam, lapor Bernama.
Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi turut menasihatkan ahli Umno agar mengambil kira pandangan pengundi, khususnya golongan muda yang membentuk 40% daripada jumlah pengundi seluruh negara.
“Mereka mempunyai pemikiran yang sangat berbeza dengan nenek moyang kita. Perkara ini berlaku di seluruh dunia apabila audiens kita pada umur 18 tahun secara automatik boleh jadi pengundi.
“Kalau kita sebagai parti, tidak boleh faham pemikiran anak-anak muda, macam mana nak mengolah dan sentiasa melahirkan pemimpin muda yang memahami, masalah kita nanti sangat besar,” katanya.
Mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin semalam bahawa pembangkang kini sedang mempertimbangkan untuk menghantar usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Parlimen, Johari berkata, setiap Ahli Parlimen berhak berbuat demikian.
“Jadi usul berkenaan dibawa ke dalam Parlimen … selepas itu kita tengoklah siapa yang mendapat sokongan, siapa yang tidak. Parlimen yang menentukan,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.