Mahkamah benar Isa dapatkan pasport untuk ke UK

Mahkamah benar Isa dapatkan pasport untuk ke UK

Bekas Pengerusi Felda Isa Samad sebelum ini membuat permohonan mendapatkan semula pasportnya bagi menghadiri majlis konvokesyen anak perempuan di United Kingdom.

Bekas Pengerusi Felda Isa Samad dibenarkan menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di UK pada 30 Mac.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Pengerusi Felda Isa Samad untuk pemulangan pasportnya bagi menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di sebuah universiti di United Kingdom (UK), akhir bulan ini.

Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas kesalahan rasuah tahun lalu dan beliau kini membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Isa membayar jaminan berjumlah RM1.5 juta tetapi pasportnya ditahan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said hari ini memerintahkan supaya pasportnya yang telah luput, dipulangkan pada Isnin untuk diperbaharui.

Kamaludin yang turut disertai Ghazali Cha dan Lee Heng Cheong turut memerintahkan pasport itu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 16 April.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Isa memberitahu panel hakim bahawa Isa akan berlepas ke UK pada 26 Mac untuk menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya pada 30 Mac.

Isa, 72, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Hakim Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Isa bagi setiap pertuduhan dihadapinya yang berjalan serentak dan denda RM15.45 juta atau 18 tahun penjara jika gagal membayar denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.