
Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu terhadap Wan Mohd Zamri W Ismail, 64, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati wang RM10,000 itu digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada akhir Dis 2014.
“Pihak pembelaan berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas imbangan kebarangkalian.”
Zamri sebelum ini didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada Ng Tze Wei melalui cek United Overseas Bank (Malaysia) Bhd yang dikreditkan ke akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.
Suapan itu sebagai dorongan membantu Zog Technology Sdn Bhd yang dilantik subkontraktor bagi menjalankan kerja mereka bentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliah kerja mekanikal dan elektrikal serta kerja berkaitan (reka dan bina) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej 1, Machang.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Jalan Mahmood di sini pada 22 Jan 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar, manakala Zamri diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.