Pihak berkuasa agama negeri tak boleh ‘campur tangan’ kes cerai, kata peguam Loh

Pihak berkuasa agama negeri tak boleh ‘campur tangan’ kes cerai, kata peguam Loh

Rajashree Suppiah berkata undang-undang tidak membenarkan pihak ketiga terbabit dalam kes perceraian.

Ibu tunggal Loh Siew Hong, mendapat hak penjagaan tiga anaknya. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Cubaan pihak berkuasa agama Perlis menggunakan proses mahkamah untuk menjadi ‘sebahagian’ daripada kehidupan anak-anak Loh Siew Hong berkemungkinan tidak akan membuahkan hasil, kata seorang peguam.

Rajashree Suppiah yang mewakili Loh berkata mengikut undang-undang sedia ada, pihak ketiga tidak boleh mendapatkan perintah mahkamah membabitkan anak-anak dalam prosiding perceraian.

Hari ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dilaporkan memohon mencelah dalam petisyen perceraian Loh dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy.

MAIPs membuat permohonan itu untuk membolehkannya memastikan tiga anak Loh mendapat akses kepada bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam.

MAIPs juga mahu memberikan sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat kepada tiga kanak-kanak tersebut – melalui Loh – serta memberikan panduan kepada beliau selaku ibu agar dapat membesarkan mereka “dalam suasana kondusif mengikut syarak”, selepas tiga anak itu diislamkan oleh bapa kandung mereka.

Rajashree berkata, mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Peraturan Prosiding Perceraian 1980, tiada peruntukan membenarkan pihak ketiga yang bukan penjaga, kustodian lantikan mahkamah atau pegawai kebajikan, untuk mencampuri prosiding, terutama apabila membabitkan kanak-kanak.

“Perintah perceraian juga dimuktamadkan tahun lalu. Mahkamah Keluarga sering bertindak demi kepentingan anak-anak.

“Beban tinggi akan diletakkan kepada MAIPs untuk menunjukkan apa yang dimohon adalah demi kepentingan anak-anak itu, sedangkan pengislaman mereka secara unilateral juga dilihat sebagai tidak sah dari segi undang-undang, sepertimana penghakiman Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada FMT.

Rajashree berkata, Loh memperoleh penjagaan sementara anak-anaknya seawal 2019, yang dilanjutkan sehingga proses cerai dan hak penjagaan penuh diselesaikan, tahun lalu.

Sebelum ini, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mendedahkan Nagahswaran memeluk Islam pada 2020 bersama tiga anaknya itu. Menurutnya, tiga anak itu mengamalkan ajaran Islam dan mahu kekal dengan cara hidup berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.