Malaysia masuk fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April

Malaysia masuk fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April

Perdana Menteri berkata, keputusan itu mengambil kira kadar vaksinasi tinggi dan penggunaan katil hospital untuk pesakit Covid-19 yang rendah.

Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah fasa peralihan ke endemik, orang ramai masih perlu memakai pelitup muka di tempat awam.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki fasa “peralihan ke endemik” mulai 1 April ini.

Beliau berkata, ini adalah fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Katanya, ia juga merupakan “exit strategy” untuk rakyat kembali kepada kehidupan hampir normal, selepas hampir dua tahun berperang dengan wabak Covid-19.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira kadar vaksinasi tinggi, penggunaan katil hospital untuk pesakit Covid-19 yang rendah dan faktor risiko lain.

Di bawah fasa “peralihan ke endemik” itu, rakyat masih perlu memakai pelitup muka di tempat awam, tetapi had waktu operasi perniagaan dimansuhkan.

Katanya, pemilik premis boleh berniaga mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun Ismail berkata, orang ramai masih wajib mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera di mana-mana premis, tetapi dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Beliau berkata, solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Katanya, orang ramai juga dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka mulai bulan depan dan tiada lagi had kapasiti di tempat kerja.

Beliau juga menasihati individu yang disyaki atau disahkan positif Covid-19 mematuhi semua garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan, termasuk menjalani ujian saringan dan kuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.