
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri pada 2 Okt atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai, khususnya pemilik kenderaan dikuasakan NGV.
“Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 hingga 2014. Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.
“Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti, ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja serta boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat,” katanya pada sidang media pengumuman dasar penggunaan NGV negara.
Beliau berkata, penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan melibatkan kos tinggi hingga melebihi RM7,000 satu kenderaan, manakala alat ganti NGV terutamanya tangki tulen sama ada sudah tiada atau amat sukar diperoleh di pasaran tempatan.
“Semua perkara ini akan akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit,” katanya.
Loke berkata pada masa ini, di Malaysia terdapat dua kategori kenderaan motor menggunakan bahan api NGV iaitu kenderaan dikuasakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi penambahan penggunaan bahan api NGV dan kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja.
Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lebih 95% daripada kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan dalam kategori pertama.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun adalah kira-kira 44,383 merangkumi 9,509 teksi dan kereta sewa pandu, kenderaan pendaftaran persendirian (32,137), bas dan lori (2,150), dan 587 unit kenderaan/jentera.
Program bantuan peralihan NGV
Loke berkata, pemilik kenderaan motor NGV boleh memohon Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV bermula hari ini.
Katanya, program bantuan itu terdiri daripada tiga pakej – pakej bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV yang layak, pakej menanggalkan kit NGV, dan pakej bantuan peralihan bagi kenderaan bahan api tunggal NGV.
Beliau berkata, program itu merupakan inisiatif Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) untuk kumpulan sasar yang terjejas iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, pemilik kenderaan bahan api tunggal, dan juga dwibahan api NGV.
“Bagi pakej pertama iaitu bantuan peralihan kepada pemandu teksi NGV, setiap pemandu berdaftar yang layak akan menerima bantuan dalam bentuk e-baucar sebanyak RM3,000 dan diberikan melalui aplikasi Setel secara one-off (sekali sahaja) dalam tempoh 15 ke 30 hari bekerja.
“Syarat kelayakan utama adalah pemandu teksi NGV mempunyai Kad Pemandu dan Permit Kenderaan yang sah dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan aktif untuk tempoh mulai 1 Jan sehingga 30 Sept 2024,” katanya.
Loke berkata, bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, individu mendaftar sebagai pemandu teksi NGV selepas 30 Sept 2024 tidak layak menerima pakej berkenaan.
Bagi pakej kedua iaitu menanggalkan kit NGV terutama tangki daripada kenderaan diubah suai (dwibahan api) termasuk teksi, semua kos ditanggung sepenuhnya di bawah program itu dan ia hanya boleh dilaksanakan di bengkel berdaftar.
Sementara itu, Loke berkata bagi pakej bantuan peralihan, ia menawarkan pembayaran secara sekali sahaja kepada pemilik kenderaan yang layak, berdasarkan nilai semasa kenderaan yang ditentukan oleh wakil penilai bebas.
Jelasnya, syarat kelayakan utama adalah kenderaan jenis bahan api tunggal NGV yang didaftarkan dengan JPJ dan aktif untuk tempoh mulai 1 Okt 2021 sehingga 30 Sept 2024.
“Pemilik yang menerima tawaran ini perlu menghantar kenderaan mereka ke Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) berlesen untuk dilupuskan dan membatalkan pendaftaran kenderaan dengan pihak JPJ,” katanya.
Beliau berkata, tarikh tutup permohonan bagi pakej pertama dan ketiga adalah pada 31 Dis ini sementara pakej kedua tamat pada 30 April tahun depan, manakala semakan kelayakan serta permohonan boleh dikemukakan melalui laman web www.peralihanngv.com bermula hari ini.