
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata menerusi pemasangan sistem solar PV di premis masing-masing, ia antaranya dapat menjimatkan penggunaan elektrik, sekali gus menjana tenaga baharu serta mengurangkan pelepasan karbon di udara.
Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, usaha berkenaan dapat dilihat menerusi inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang memasang sistem solar PV di tempat letak kenderaan serta bumbung Menara MBKT.
“Sistem solar PV di MBKT ini yang terbesar dipasang di bangunan milik PBT melalui program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 bawah kategori NEM GoMEN yang diluluskan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Malaysia pada 16 Dis 2021.
“Ia beroperasi bermula 2 Jan 2024 dan pepasangan ini dianggarkan dapat menjana 1,147 MWj (megawatt-jam) bekalan elektrik hijau setahun, dengan anggaran penjimatan bil elektrik lebih RM200,000 setahun.”
Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan sistem solar PV di Menara MBKT hari ini sempena Jelajah Petra Skuad Zon Timur selama dua hari bermula semalam di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, jelajah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) Skuad diteruskan ke loji solar berskala besar (LSS) Coara Marang untuk meninjau secara langsung pengoperasiannya bawah inisiatif kerajaan melalui program LSS3.
“Kapasiti tenaga dijana daripada loji ini dianggarkan mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada lebih 10,000 isi rumah setiap hari dan ia antara loji solar termaju dari segi teknologi dan kecekapan.
“Selain membantu mengurangkan pelepasan karbon, projek LSS Coara Marang ini juga menjadi model bagi reka bentuk loji solar tahan bencana yang sesuai dibangunkan di kawasan berisiko tinggi banjir, sekali gus memperkukuhkan daya tahan sektor tenaga negara.”
Menurutnya, jelajah Petra Skuad Zon Timur diakhiri tinjauan ke loji jana kuasa Biogas Concord Biotech Sdn Bhd di Kemaman.
Katanya, pembangunan loji jana kuasa itu melibatkan pelaburan RM21 juta merangkumi pemasangan dua enjin biogas, dengan jumlah kapasiti keseluruhan 2.404 megawatt (MW) menggunakan biogas dari sumber sisa efluen kilang sawit.
Beliau berkata, loji jana kuasa itu mencapai pengoperasian komersial pada 12 Mac 2022, dengan Seda Malaysia meluluskan kuota tarif galakan (Feed-in-Tariff atau FiT) pada 18 Feb 2019.
“Sehingga 31 Mac 2025, loji jana kuasa ini telah menjana tenaga elektrik sebanyak 29,158 MWj bersamaan penghindaran 22,568 tan metrik setara karbon dioksida (CO2eq).”