Peralihan EV tak sepatutnya menyebabkan hilang pekerjaan

Peralihan EV tak sepatutnya menyebabkan hilang pekerjaan

Walaupun harga EV lebih murah beri manfaat kepada pembeli, peralihan tak boleh korbankan 700,000 pekerjaan tempatan, sumber rezeki pembekal dan keseluruhan ekosistem automotif negara.

Peralihan Malaysia ke arah kenderaan elektrik (EV) kini semakin dilihat dari satu sudut sahaja: seberapa cepat harga boleh diturunkan. Namun, pendekatan ini tidak menyeluruh.

Harga yang lebih rendah sememangnya penting. Bagi ramai rakyat Malaysia, kemampuan kewangan menentukan sama ada mereka boleh menyertai peralihan kepada EV atau tidak.

Namun, dasar awam tidak boleh hanya tertumpu kepada harga paling murah, lebih-lebih lagi apabila sektor automotif menyokong lebih 700,000 pekerja, melibatkan ratusan vendor khusus, dan menyumbang kira-kira 4% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK)

Isunya bukan sekadar penggunaan, tetapi juga pengeluaran.

Industri automotif Malaysia disokong oleh ekosistem pembekal, pengeluar dan keupayaan teknikal yang telah dibangunkan selama beberapa dekad.

Ekosistem ini bukan sekadar konsep. Ia melibatkan juruteknik, jurutera, pembuat komponen dan perusahaan kecil termasuk vendor yang bergantung kepada rantaian bekalan automotif, sekali gus menyokong ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti di seluruh negara.

Perkembangan di pasaran lain boleh dijadikan rujukan.

Di China, penurunan harga berterusan yang dalam sesetengah kes melebihi 30% dikaitkan dengan peningkatan tekanan lebihan stok dan persaingan sengit dalam sektor EV.

Pemain industri menyatakan persaingan harga yang berpanjangan telah memberi tekanan kepada pembekal dan menjejaskan sebahagian rantaian bekalan, sehingga mencetuskan kebimbangan pengawal selia terhadap persaingan yang melampau.

Di Thailand pula, perkembangan pesat EV disertai dengan lambakan stok dan tekanan operasi. Laporan menunjukkan lebihan inventori, isu ketersediaan alat ganti serta tempoh pembaikan yang lebih lama, yang menjejaskan prestasi perkhidmatan selepas jualan dan menimbulkan kebimbangan dalam industri.

Perkembangan ini menunjukkan satu pola lebih luas: pengembangan yang didorong oleh harga boleh memberi tekanan kepada pelbagai bahagian dalam ekosistem automotif, walaupun akses pengguna bertambah baik.

Malaysia tidak memulakan peralihan ini tanpa asas industri sedia ada. Tahap penggunaan komponen tempatan bagi pengeluar nasional sudah melebihi 75%, dengan Perodua-Daihatsu melebihi 75% dan Proton-Geely pada 76% setakat 2025.

Pencapaian ini mencerminkan pelaburan berterusan dalam pembangunan pembekal, keupayaan pembuatan dan kapasiti kejuruteraan.

Dalam konteks inilah langkah dasar semasa perlu difahami.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menggariskan pendekatan yang menumpukan kepada penyetempatan, penciptaan nilai dan pengeluaran berorientasikan eksport.

Secara praktikal ini termasuk rangka kerja pengeluaran berorientasikan eksport di mana jualan domestik dihadkan sekitar 20% daripada ‘output’, selain keperluan proses pemasangan dalam negara seperti operasi badan, cat dan kemasan. EV yang dipasang secara tempatan juga tertakluk kepada harga minimum atas jalan sebanyak RM100,000.

Tujuannya untuk memastikan pelaburan baharu menyumbang kepada rantaian bekalan tempatan, termasuk vendor domestik, di samping pemindahan teknologi dan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, bukannya sekadar menjadikan Malaysia sebagai pasaran jualan.

Persoalannya ialah bagaimana syarat-syarat ini akan dilaksanakan dalam amalan.

Pengeluaran berorientasikan eksport bergantung kepada keupayaan pasaran luar menyerap sebahagian besar output.

Bagi syarikat yang sudah mempunyai pelbagai hab pengeluaran di rantau ini, eksport tambahan dari Malaysia perlu bersaing dalam rantaian bekalan serantau dan global sedia ada.

Keupayaan untuk mengekalkan pendekatan ini pada skala besar bergantung kepada keadaan pasaran di luar kawalan langsung Malaysia.

Ini tidak menafikan rasional dasar terbabit, tetapi menekankan kepentingan penyesuaian yang teliti.

Landskap persaingan yang lebih luas turut merumitkan keseimbangan ini. Sebagai contoh, BYD dilaporkan menerima subsidi kerajaan China sebanyak 12.47 bilion yuan pada 2025, yang menyumbang sebahagian besar daripada keuntungannya.

Ini menunjukkan persaingan dalam sektor EV bukan sahaja dipacu oleh kuasa pasaran, tetapi juga sokongan kerajaan.

Dalam keadaan ini, pilihan dasar melibatkan pertukaran (trade-off). Langkah yang menyokong ekosistem domestik mungkin memberi kesan kepada harga dalam jangka pendek.

Sebaliknya, langkah yang mengutamakan penggunaan pantas boleh memberi tekanan kepada keupayaan sedia ada.

Syarat berorientasikan eksport pula boleh mengukuhkan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, tetapi masih bergantung kepada permintaan luar.

Tiada penyelesaian mudah.

Akhirnya, persoalannya ialah sama ada Malaysia mampu mengurus peralihan ini dengan cara yang mengekalkan serta meningkatkan asas industrinya, sambil kekal terbuka kepada pelaburan baharu dan perubahan teknologi.

Keseimbangan itu tidak bergantung kepada satu dasar semata-mata, tetapi kepada sejauh mana keseluruhan kerangka dasar selari dengan keputusan pelaburan syarikat dan perkembangan pasaran.

 

Jamil Ghani ialah bekas penyelidik bersekutu di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia dan pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.