
Permintaan global yang berubah, konflik politik berterusan dan pasaran komoditi tidak menentu sedang memaksa sektor ini untuk menyesuaikan diri, sesuatu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Baru-baru ini, syarikat antarabangsa terkemuka seperti Shell, BP dan Chevron melaksanakan penstrukturan semula operasi secara menyeluruh, termasuk pengurangan tenaga kerja yang ketara.
Strategi pelaburan sedang dibentuk semula oleh ancaman tiga serangkai iaitu peningkatan perbelanjaan operasi, peraturan alam sekitar yang lebih ketat, dan kos yang besar untuk mengguna pakai teknologi termaju — mengakibatkan pelarasan ketara kepada saiz dan struktur tenaga kerja.
Medan minyak tidak aktif
Kos operasi meningkat, terutama dalam penerokaan dan pengeluaran huluan. Dengan sumber yang mudah dicapai berkurang dengan cepat, syarikat minyak kini perlu meneroka simpanan lebih sukar seperti gas masam dan projek laut dalam, yang memerlukan pelaburan lebih tinggi.
Akibatnya, syarikat minyak mula menilai semula pelan pelaburan korporat mereka, dengan unjuran penurunan sebanyak 6% dalam pelaburan minyak huluan diunjurkan pada 2025 — pengurangan tahun ke tahun yang pertama sejak 2020.
Syarikat minyak bergelut apabila kos penggerudian meningkat dan unjuran harga melemah. Pelantar aktif sedang menggerudi pada tahap jauh lebih rendah, memperlahankan aktiviti huluan. Dengan harga minyak sekitar USD63 setong, margin keuntungan mengecil memaksa firma menangguhkan atau membatalkan projek.
Awal tahun ini, ConocoPhillips menarik diri daripada projek usaha sama dengan Petronas dalam projek minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali bernilai USD3.3 bilion (RM13.7 bilion), kali pertama ditemui pada 2018. Syarikat itu juga mengumumkan rancangan untuk mengecilkan tenaga kerja globalnya menjelang akhir 2025.
ConocoPhillips juga dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan aset di Lembangan Permian yang bernilai lebih USD1 bilion (RM4.2 bilion).
Bukan syarikat itu sahaja.
Chevron yang berpangkalan di Amerika Syarikat juga merancang mengurangkan 15% hingga 20% daripada tenaga kerja globalnya, kemungkinan menjejaskan 6,000 hingga 8,000 pekerja dalam tempoh setahun akan datang. Sementara itu, ExxonMobil akan menamatkan hampir 400 pekerja pada 2026 susulan penggabungan dengan Pioneer Natural Resources.
Syarikat berpangkalan di United Kingdom, BP sedang dalam perancangan memansuhkan 4,700 pekerjaan dan 3,000 jawatan kontraktor menjelang 2026 sebagai sebahagian usaha penjimatan kos bernilai USD2 bilion.
Di Laut Utara UK, Repsol dari Sepanyol juga sedang berusaha mengurangkan tenaga kerja melalui penyahtauliahan medan minyak, berkemungkinan menjejaskan 2,000 pekerjaan.
Pemberhentian kerja ini mencerminkan arah trend meluas industri dalam menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan ekonomi, penurunan pengeluaran dari medan matang, dan peningkatan tumpuan terhadap pengoptimuman kos dan peralihan tenaga.
Kesan peraturan hijau
Pematuhan terhadap peraturan alam sekitar juga semakin memerlukan modal yang tinggi.
Peraturan global lebih ketat berkait pelepasan karbon, pembakaran sisa gas dan pengurusan metana mewajibkan syarikat memperuntukkan pelaburan besar terhadap sistem pemantauan, penaiktarafan peralatan dan proses yang lebih bersih.
Ini termasuk peningkatan tumpuan terhadap projek Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), yang dijangka mengalami peningkatan pelaburan sebanyak sepuluh kali ganda menjelang 2027.
Kegagalan mematuhi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang sedang berkembang ini menimbulkan risiko perniagaan yang ketara, seperti akses terhad kepada pembiayaan dan kerosakan reputasi. Untuk mengurus kewajipan yang semakin meningkat ini, banyak entiti sedang mengurangkan tenaga kerja mereka dalam bahagian berkarbon tinggi.
Kos awal yang tinggi
Syarikat melabur lebih banyak dalam teknologi maju seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) untuk analisis data dan pematuhan, serta sistem pemantauan dikuasakan oleh internet kebendaan (IoT) untuk meningkatkan kecekapan dan memenuhi tuntutan peraturan.
Walaupun penaiktarafan teknologi ini mungkin menghasilkan pengurangan kos jangka panjang, pelaksanaannya memerlukan perbelanjaan modal awal yang besar, seperti memodenkan pelantar dengan keupayaan automasi atau menggunakan sistem pemantauan canggih dipacu AI.
Penggunaan AI secara meluas sahaja berpotensi membawa kepada penjimatan kos antara 10% hingga 20% menjelang 2025.
Peralihan ke arah model dipacu teknologi ini sedang memperkemas operasi, menggantikan peranan tradisional dengan penyelesaian automatik, dan menyatukan fungsi untuk meningkatkan produktiviti serta kestabilan kewangan, bukan sekadar mengembangkan struktur sedia ada.
Pemain industri terkemuka seperti Exxon dan Chevron sedang menumpukan pertumbuhan pengeluaran di rantau yang lebih cekap seperti Lembangan Permian, dengan memanfaatkan penyatuan dan penambahbaikan dipacu teknologi untuk mengurus kos dalam keadaan pelaburan huluan yang merosot.
Sementara itu, Petronas pula memberi tumpuan kepada inovasi, kelestarian dan pembangunan modal insan bagi menyokong perjalanan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih.
Komitmen ini membabitkan bukan sahaja mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan teknologi rendah karbon termaju, tetapi juga memupuk tenaga kerja yang berpandangan ke hadapan bagi menangani cabaran dinamik dalam landskap tenaga global.
Dengan memupuk bakat, menggalakkan budaya kerjasama, dan mengutamakan transformasi digital, Petronas menyasarkan untuk memacu kemajuan bermakna ke arah matlamat alam sekitar sambil memastikan pertumbuhan perniagaan jangka panjang.
Meningkatkan Perkongsian, inisiatif penyelidikan, dan penglibatan komuniti akan menjadi teras strategi ini, meletakkan syarikat sebagai peneraju dalam tenaga mampan dan pengawasan korporat yang bertanggungjawab demi masa depan Malaysia.
Ke mana hala tuju kita?
Keperluan menyeluruh adalah jelas: syarikat minyak dan gas sedang merangka semula amalan perniagaan untuk menangani tekanan kos semasa dengan lebih baik dan selaras permintaan tenaga masa depan.
Tindakan strategik jelas dilaksanakan syarikat antarabangsa terkemuka seperti BP, Shell dan Chevron. Ini bukan sekadar langkah reaktif terhadap perubahan pasaran jangka pendek, tetapi keputusan strategik kritikal yang dibuat bagi memastikan industri tenaga kekal bersedia untuk masa depan.
Haluan ini bermaksud pengurangan peluang pekerjaan tradisional dalam jangka masa pendek. Namun, keadaan ini berlaku disebabkan evolusi operasi industri, bukan kerana permintaan tenaga yang semakin berkurangan.
Pakar industri menjangka pekerjaan muncul semula dalam bidang lebih hijau, termasuk projek pengurusan CCUS, dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, sebaik sahaja penjimatan kos direalisasikan.