MAIPs mohon celah petisyen Loh; mahu beri bantuan, pendidikan Islam kepada anak

MAIPs mohon celah petisyen Loh; mahu beri bantuan, pendidikan Islam kepada anak

Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis berkata ia ada tanggungjawab memandangkan anak-anak Loh telah didaftarkan sebagai Islam.

PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mohon mencelah petisyen perceraian Loh Siew Hong bagi mendapatkan hak untuk membuat permohonan bagi membolehkan tiga anaknya mendapat akses kepada bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam.

Majlis itu berkata, memandangkan keislaman tiga anak Loh itu didaftarkan di Perlis, maka ia bertanggungjawab memastikan “mereka mendapat akses ke atas segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam”.

Permohonan mencelah petisyen perceraian antara Loh dan suaminya itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menerusi Tetuan Zainul Rijal.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataan berkata, MAIPs memohon locus standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma perintah jagaan tunggal dan tidak sama sekali akan menafikan hak Loh ke atas kanak-kanak terbabit.

“Peranan MAIPs hanyalah semata-mata bagi memastikan kebajikan anak-anak mualaf serta akidah mereka sentiasa terjaga,” katanya dan menambah ini termasuk memberikan sokongan dan bantuan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial.

Mahkamah sebelum ini memberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas tiga kanak-kanak terbabit kepada Loh.

Bekas suaminya dikatakan telah membawa tiga kanak-kanak itu ke Perlis untuk didaftarkan sebagai Islam dan jabatan agama negeri disahkan telah mendaftarkan mereka tanpa kehadiran Loh dan ketika mereka bawah umur.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Enakmen Islam Perlis bagaimanapun menyatakan sama ada bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan anak bawah umur.

MAIPs dalam kenyataan peguam hari ini berkata, ia tidak mencampuri serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian antara Loh dan bekas suaminya.

Ia juga mahu memberikan sokongan dalam bentuk kewangan daripada dana zakat kepada tiga kanak-kanak tersebut – melalui Loh – serta memberikan panduan kepada beliau selaku ibu agar dapat membesarkan mereka “dalam suasana kondusif mengikut syarak”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.