MAIPs seru masyarakat antarabangsa pastikan bantuan kemanusiaan GSF sampai di Gaza

MAIPs seru masyarakat antarabangsa pastikan bantuan kemanusiaan GSF sampai di Gaza

Yang Dipertua MAIPs yang juga Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tidak wajar sukarelawan bawa bantuan ditahan dan dihalang.

Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) tidak wajar diganggu. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyeru masyarakat antarabangsa tanpa mengira bangsa, agama, dan negara berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sampai kepada rakyat Palestin.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan membawa bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang melaksanakan misi mereka.

“Lebih mendukacitakan lagi sekiranya diperlakukan apa yang tidak sewajarnya. Tindakan ini jika benar, jelas bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” titah baginda dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah MAIPs menyeru umat Islam khususnya rakyat Perlis terus berdoa dan memperbanyakkan amal soleh serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“Di negeri Perlis tercinta, seluruh masjid telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sejak 8 April 2025 sebagai tanda solidariti dan doa kepada saudara-saudara kita di Palestin,” titah baginda.

Misi kemanusiaan GSF itu disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia berlayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan bantuan asas rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.