
Baginda bertitah dalam hal itu pendidikan Islam memainkan peranan penting sebagai asas pembentukan sahsiah dan kekuatan tamadun umat yang sistem pendidikan itu perlu terus diperkasakan bukan sahaja dari segi struktur dan pelaksanaan tetapi juga dari segi roh dan nilai yang mendasarinya.
“Sehubungan dengan itu, saya menyeru Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan JPPIK (Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan) supaya terus memperkukuh koordinasi antara peringkat persekutuan dan negeri.
“Segala dasar dan pelan tindakan yang dirangka perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi kesan langsung kepada kualiti pendidikan Islam di sekolah, institusi dan masyarakat. Hanya melalui sistem pendidikan yang benar-benar berkesan, kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan bebas daripada gejala negatif,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian pada majlis makan malam bersama baginda sempena Persidangan JPPIK, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-63 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Okt di Perlis, malam tadi.
Pada majlis itu, Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan buku Siri Asas Kanak-Kanak Muslim yang diterbitkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menaruh harapan supaya buku, bahan pengajaran dan pendekatan baharu dalam pendidikan Islam terus diperkasakan dari semasa ke semasa untuk memastikan ajaran Islam dapat disampaikan dengan cara yang mudah difahami, menarik dan dekat dengan realiti kehidupan anak-anak pada masa ini.
Sementara itu, baginda bertitah MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) perlu terus menambah baik pelaksanaan program-program pendidikan Islam di negeri itu.
“Tumpuan perlu diberikan bukan hanya kepada kejayaan akademik, tetapi kepada pembinaan akhlak dan adab dalam kalangan murid serta tenaga pengajar. Kualiti guru dan keberkesanan kurikulum mesti sentiasa dipantau dan dipertingkatkan supaya selaras dengan hasrat negeri dan juga negara,” titah baginda.