
“Komitmen terhadap prinsip tadbir urus baik bukan sahaja penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan zakat dan aset MAIPs, malah menjadi asas kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama di Perlis,” titah Yang Dipertua MAIPs ketika menerima menghadap Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Kuala Lumpur.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, komitmen terhadap tadbir urus baik penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan zakat dan aset MAIPs, serta menjadi asas kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama di Perlis.
Baginda turut menegaskan keperluan memperkukuh sistem kawalan dalaman, pelaporan kewangan telus serta pematuhan piawaian audit negara sebagai teras pengurusan berintegriti, selain membudayakan akauntabiliti dan profesionalisme dalam semua peringkat pelaksanaan program serta pengurusan sumber.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata pihaknya menghargai pandangan, cadangan penambahbaikan, bimbingan serta teguran profesional Jabatan Audit Negara.
“Ia bukan sekadar memastikan kepatuhan, tetapi menjadi pemangkin kepada budaya tadbir urus berintegriti dan inovasi pengurusan zakat lebih mampan,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, MAIPs komited terus memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan demi manfaat ummah, selaras titah Tuanku Syed Faizuddin.
MAIPs akan melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 sebagai hala tuju baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperluas impak sosial dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap institusi agama itu.