
Bapa mangsa, Md Shahril Mahmood, 43, berkata, kejadian berlaku pada 5.30 petang 2 Mac lalu di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang.
Katanya, ketika kejadian anak sulungnya Najlaa, 17, dalam perjalanan pulang dari kedai ke rumah mereka di Taman Kota Masai.
Ketika melalui jalan di perkampungan itu, beliau berkata, bendera sepanjang 30m yang dipasang di tepi jalan terlilit leher Najlaa menyebabkan gadis itu terjatuh dari motosikal.
“Anak ketika itu menunggang motosikal berseorangan dan bendera parti dipasang di antara dua pokok terkena muka serta terlilit leher anak akibat angin kencang hingga menyebabkan kemalangan.
“Dia terjatuh dan patah kedua-dua pergelangan tangan, selain lehernya juga mengalami kecederaan ringan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Shahril berkata, anaknya mendapat rawatan di bahagian pesakit luar Hospital Sultan Ismail (HSI) dan perlu menjalani rawatan susulan dalam masa terdekat.
Beliau kecewa dengan bendera parti dipasang berdekatan jalan tanpa mengira aspek keselamatan pengguna jalan raya dan sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Scientex.
“Saya bukan memfitnah atau mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak, namun saya berharap kejadian seumpama ini tidak berulang. Semua parti yang bertanding seharusnya mengambil kira soal keselamatan pengguna jalan raya terlebih dulu.”
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak memberitahu akhbar itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 2 Mac lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.