
Berita peningkatan kes jenayah dan gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meresahkan masyarakat. Lebih membimbangkan, sebahagian besar pelaku adalah pelajar sekolah yang masih di bawah umur. Tragedi pembunuhan, rogol, buli siber dan penyalahgunaan dadah bukan lagi kes terpencil tetapi mencerminkan krisis sosial semakin sistemik. Fenomena ini memberi isyarat ekosistem pembangunan remaja kini berada dalam keadaan tenat, bukan sahaja dari aspek fizikal dan akademik, tetapi dari sudut jiwa, emosi dan moral.
Daripada menyalahkan kepada memulihkan ekosistem sosial
Dalam wacana awam, pelbagai pihak sering menjadi sasaran terutama ibu bapa dikatakan gagal mendidik, guru tidak mampu membentuk sahsiah atau sistem pendidikan terlalu menekan pencapaian akademik berbanding pembentukan karakter. Bagaimanapun, pendekatan berasaskan hukuman dan kesalahan semata-mata tidak lagi relevan. Membina moral remaja memerlukan ekosistem nilai sihat yang membolehkan mereka berfikir secara kritikal, menilai baik dan buruk, serta bertindak berdasarkan etika dan nilai. Di sinilah muncul keperluan kepada pendekatan menyeluruh yang bukan sekadar membetulkan individu, tetapi memulihkan sistem sosial yang membentuk mereka.
Pendekatan whole-of-government dan whole-of-society
Pendekatan whole-of-government menekankan sinergi antara kementerian, agensi dan institusi kerajaan untuk menangani isu remaja secara holistik. Misalnya, isu ketagihan dadah tidak boleh ditangani Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semata-mata. Ia memerlukan kolaborasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pendidikan pencegahan, Kementerian Komunikasi bagi kawalan media sosial, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penglibatan positif remaja dan Kementerian Kesihatan bagi intervensi psikososial.
Namun, pendekatan whole-of-government sahaja tidak mencukupi. Ia perlu dilengkapi dengan whole-of-society – penglibatan semua lapisan masyarakat iaitu ibu bapa, jiran tetangga, pertubuhan belia, institusi agama, sektor swasta dan media. Keseluruhan masyarakat perlu dilibatkan dalam membina budaya komuniti yang menyokong kesejahteraan remaja, bukan sekadar menjadi pemerhati di media sosial. Pendekatan ini mengubah paradigma daripada ‘kerajaan bertindak, masyarakat menilai’ kepada ‘kerajaan dan masyarakat bertindak bersama’.
Perspektif Teori Ekologi Bronfenbrenner
Untuk memahami akar masalah ini secara lebih mendalam, Bronfenbrenner’s Ecological Systems Theory memberikan kerangka penting dalam menilai bagaimana pelbagai lapisan persekitaran membentuk tingkah laku remaja. Mikrosistem adalah melibatkan interaksi langsung remaja dengan keluarga, rakan sebaya dan sekolah. Krisis komunikasi dalam keluarga, pengabaian emosi atau persekitaran sekolah yang toksik boleh melemahkan asas moral mereka. Mesosistem merujuk kepada hubungan antara mikrosistem, contohnya kolaborasi antara ibu bapa dan guru. Apabila komunikasi ini lemah, remaja mudah terperangkap antara nilai yang bercanggah. Eksosistem pula faktor luar yang memberi kesan tidak langsung, seperti dasar pekerjaan ibu bapa atau persekitaran kejiranan. Beban ekonomi keluarga atau kejiranan yang tidak selamat boleh mencetuskan tekanan sosial terhadap remaja.
Manakala makrosistem sistem nilai, budaya dan ideologi masyarakat. Nilai kejayaan yang disandarkan kepada kemewahan, populariti, atau pengaruh media sosial telah mengubah persepsi remaja tentang erti harga diri. Kronosistem pula merupakan dimensi masa, termasuk perubahan teknologi dan norma sosial. Dunia digital yang berkembang pesat telah mengubah cara remaja berhubung dan membina identiti diri mereka. Pendekatan ini menegaskan bahawa masalah remaja bukan kegagalan individu semata-mata, tetapi refleksi kepada keruntuhan keseimbangan dalam sistem ekologi sosial mereka.
Komuniti sebagai benteng sosial
Komuniti memainkan peranan penting sebagai benteng nilai dan ruang sokongan sosial bagi remaja. Remaja yang tidak menemui rasa sense of belonging dalam komuniti sebenar akan mencarinya di dunia maya, kadangkala dalam kumpulan toksik atau ekstrem. Oleh itu, krisis remaja adalah juga krisis komuniti. Institusi sosial dan agama seperti masjid, gereja, kuil, pusat komuniti dan pertubuhan belia harus berfungsi sebagai ruang interaksi positif dan tempat mendengar suara remaja. Dalam era digital, komuniti tidak boleh hanya aktif di alam fizikal tetapi perlu hadir juga di ruang digital melalui pempengaruh positif, guru atau pemimpin setempat yang menyebarkan mesej nilai dan empati. Dunia digital bukan musuh, tetapi peluang untuk membina semula komuniti maya yang membimbing dan mendidik.
Ke arah ekosistem baharu pembangunan remaja
Membangunkan remaja memerlukan kerjasama berlapis dan bersepadu antara pelbagai aktor sosial dan institusi. Justeru, tindakan strategik boleh digerakkan seperti intervensi awal berasaskan komuniti, misalnya program mentor remaja dan keluarga asuh nilai. Kolaborasi lintas agensi, seperti perkongsian data antara sekolah, agensi sosial dan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti risiko awal. Selain itu, program kesejahteraan digital, dengan melibatkan pempengaruh dan pendidik untuk membina naratif media sosial yang sihat. Pemerkasaan institusi agama dan komuniti juga diperlukan, supaya menjadi pusat intervensi nilai dan kesejahteraan mental.
Daripada krisis kepada kebersamaan
Oleh itu, isu remaja tidak boleh lagi dilihat sebagai tanggungjawab satu pihak. Ia memerlukan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society yang berpaksikan kepada ekologi sosial yang sihat seperti yang digariskan oleh Bronfenbrenner. Kita perlu berhenti mencari siapa yang bersalah dan mula memulihkan ekosistem yang melahirkan generasi muda yang positif. Remaja hari ini adalah cerminan masyarakat hari esok. Maka, menjaga remaja bukan sekadar menyelamatkan individu tetapi menyelamatkan masa depan komuniti dan negara.
Penulis ialah aktivis dan penyelidik pembangunan komuniti.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.