
Peguamnya Shamsher Singh Thind berkata, hanya satu isu yang timbul dalam kes itu, iaitu adakah penahanan ketiga-ketiga anak Loh sah atau sebaliknya.
“Isunya ibu kandung yang diberi hak oleh Mahkamah Tinggi. Beliau diberi hak penjagaan dan kawalan tunggal.
“Setelah terima perintah, dia masih tak terima hak penjagaan dia. Ada pihak yang tanya kamu suka ibu kamu atau tidak soalan itu tak wujud.
“Hak seorang minor (bawah umur) adalah hak ibu bapa,” katanya pada sidang media di luar Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan ibu tunggal itu selepas mendengar hujahan peguamnya dan peguam yang hadir mewakili ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah.
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, mengesahkan jabatan agama negeri itu mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur terbabit sebagai Islam tanpa kehadiran ibu mereka, Loh.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.
Dalam pada itu Shamsher berkata, jika ibu bapa yang diberi hak penjagaan menzalimi anaknya sendiri, maka polis boleh masuk campur.
“Sekiranya ibu bapa menzalimi anak, barulah ada kuasa untuk polis masuk campur,” katanya.
Shamsher berkata, berhubung semakan kehakiman sama ada anak itu telah didaftarkan sebagai mualaf juga tidak wujud.
“Selagi kita tidak dapat dokumen yang mengesahkan anak-anak itu telah ditukar agama, isu semakan kehakiman tidak timbul,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tamilar Kural Malaysia, David Marshel berkata, usahanya berhubung isu Loh hanya untuk membantu kanak-kanak terbabit dikembalikan kepada ibunya.
Beliau berkata, isu pertukaran agama anak Loh adalah hak peribadi keluarga.
“Keputusan hakim sangat diharapkan, khas kepada ibu untuk menyatukan mereka. Tukar agama bukan isu yang kita nak ‘highlight’ pada hari pertama itu,” katanya.
David berkata, beliau dituduh sebagai ekstremis dan anti Islam selepas isu pertukaran agama anak Loh timbul.
“Tetapi usaha sejak hari pertama ke hari ini adalah nak satukan anak-anak dengan ibunya,” katanya.