Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Johor

Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Johor

Ini adalah kes kematian dalam tahanan ke-10 yang dilaporkan tahun ini.

Tahanan berusia 49 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap IPD Seri Alam pagi semalam.
PETALING JAYA:
Satu lagi kematian dalam tahanan dilaporkan, kali ini membabitkan seorang lelaki berusia 49 tahun di Johor.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata, kematian itu berlaku di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan atas kesalahan dadah pada 3 Feb lalu dan direman empat hari, sebelum didakwa di mahkamah pada 7 Feb.

Katanya, mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan mengarahkan lelaki itu direman di lokap IPD Seri Alam, sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 April ini.

“Pada 16 Feb jam 12.45 tengah hari, tahanan itu mengadu sesak nafas dan terus dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Azri berkata, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap pada 7 pagi semalam.

“Koroner hadir di tempat kejadian dan mengesahkan tahanan tersebut telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah mayat tahanan itu kemudiannya dihantar ke HSI untuk bedah siasat.

Beliau berkata, tahanan itu disahkan positif Covid-19 hari ini, tetapi punca kematiannya belum diketahui kerana masih menunggu laporan dan ujian makmal pihak patologi.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menyiasat kes kematian itu.

Ini adalah kes kematian dalam tahanan ke-10 yang dilaporkan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.