Rampasan bunga ganja RM1.92 juta, dalang wanita diburu

Rampasan bunga ganja RM1.92 juta, dalang wanita diburu

Tiga suspek lagi direman 14 hari susulan rampasan 52kg bunga ganja yang ditemui dalam 320 bungkusan lutsinar.

DATUK HUSSEIN OMAR KHAN
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata sindiket aktif sejak September 2024 itu dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita sedang diburu susulan rampasan 52kg bunga ganja bernilai RM1.92 juta dalam dua siri serbuan, di Kuala Krai, pada 3 Jan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata operasi menerusi Ops Agas itu dilancarkan hasil risikan selama empat bulan.

Beliau berkata, serbuan pertama di Jalan Kota Bharu–Gua Musang membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 32 tahun selepas kenderaan Proton Exora yang dipandunya melanggar kereta polis.

“Hasil pemeriksaan menemui 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat 52 kg,” katanya menurut Bernama pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu.

Susulan itu, serbuan kedua di Taman Sri Guchil, Kuala Krai membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 40 dan 50 tahun yang menaiki sebuah Perodua Myvi.

Hussein berkata, nilai dadah dirampas dianggarkan RM1.82 juta, manakala dua kenderaan disita bernilai RM100,000 menjadikan keseluruhan sitaan RM1.92 juta.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman 14 hari bermula 3 hingga 16 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama yang positif ketamin mempunyai sembilan rekod lampau dan bertindak sebagai koordinator, manakala suspek kedua mempunyai enam rekod. Dua lagi suspek berperanan sebagai penghantar,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak September 2024 itu dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran dan disyaki mempunyai dwikerakyatan.

“Kita sedang mengesan wanita terbabit dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand,” katanya.

Modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan di Pengkalan Jambu, Rantau Panjang sebelum dihantar ke rumah transit di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa bagi edaran ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.