Keputusan pinda atau wujud akta baharu pengemis diketahui tahun depan, kata JKM

Keputusan pinda atau wujud akta baharu pengemis diketahui tahun depan, kata JKM

Ia hanya dapat dibuat susulan kajian semakan akta oleh kementerian yang akan dimulakan pada Julai tahun ini dan dijangka siap September tahun depan.

Isu kelompangan akta dikatakan antara punca Kuala Lumpur menjadi ‘syurga’ pengemis. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keperluan untuk mewujudkan akta baharu atau menambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam menangani isu pengemis hanya boleh diputuskan selepas satu kajian semakan akta siap tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak berkata, kajian semakan tersebut akan dimulakan pada Julai tahun ini dan dijangka siap September tahun depan.

“Terdapat keperluan akta berkenaan disemak kembali bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan memandangkan pada masa kini, tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian golongan tersebut di negara ini,” katanya dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya, Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) 2019 memutuskan bahawa suatu akta baharu yang lebih inklusif digubal untuk menangani isu gelandangan dan pengemisan secara holistik dengan mengambil kira kuasa dan peranan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berikutan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian semakan akta bagi meneliti isu ini dengan lebih serius dan sebagai asas untuk melihat sama ada sesuai untuk membangunkan suatu akta baharu atau menambah baik akta sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kelompangan akta yang dikatakan antara punca Kuala Lumpur menjadi “syurga” pengemis.

Laporan khas Bernama pada Khamis mendedahkan akta yang berusia lebih empat dekad itu sudah lapuk dan tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Ini kerana akta sedia ada hanya bertujuan melindungi dan memulihkan golongan tersebut tanpa elemen penguatkuasaan termasuk denda kepada pengemis.

Menurut akta berkenaan, pengemis berusia bawah 60 tahun yang tidak mempunyai waris akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) manakala yang berusia 60 tahun ke atas akan dihantar ke Rumah Sri Kenangan (RSK) kelolaan JKM.

Terdapat lima institusi yang menempatkan orang papa, termasuk pengemis, iaitu di Johor, Selangor, Pahang, Sabah serta Sarawak dan sehingga kini, jumlah keseluruhan orang papa yang tinggal di institusi JKM adalah seramai 7,312 orang dari 2017 sehingga 2021.

JKM sendiri, katanya, turut berhadapan kekangan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 terutamanya melibatkan pengemis yang berpindah randah, juga pengemis bermusim, seperti ketika Ramadan.

Selain itu, JKM turut berdepan cabaran membanteras pengemis warga asing yang tertakluk bawah bidang kuasa dan agensi lain.

Bagaimanapun, Rosmahwati berkata, sekuat mana pun akta yang akan dilaksanakan, termasuk penguatkuasaan operasi, ia tidak akan berkesan jika masyarakat tidak berganding bahu dalam mengekang kegiatan tersebut.

“Menangani aktiviti mengemis adalah tanggungjawab bersama agensi kerajaan, NGO dan orang awam. Oleh itu, menjadi harapan JKM agar masyarakat bersama-sama membanteras isu pengemis dengan tidak memberikan sumbangan kepada mereka sekali gus dapat mengurangkan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau menasihatkan agar masyarakat menyumbang melalui saluran yang betul seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), rumah-rumah kebajikan berdaftar, mangsa bencana, rumah ibadat atau individu yang benar-benar dikenal pasti susah.

Rosmahwati turut menyuarakan kebimbangan mengenai budaya meminta yang ditularkan menerusi platform media sosial yang kini semakin menjadi trend kerana ia dilihat berpotensi menggalakkan aktiviti mengemis secara moden.

Tegas beliau, sebarang bentuk permohonan sumbangan perlu mendapatkan kelulusan polis atau majlis agama Islam jika sumbangan tersebut berunsurkan keagamaan seperti kutipan derma khairat, kebajikan, membina masjid mahupun berkaitan pusat tahfiz.

Dalam membantu masyarakat yang susah, katanya, kerajaan menyediakan skim bantuan seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau berkata, kedua-dua agensi ini menyediakan pembiayaan kredit mikro secara mudah kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah, selain menyediakan bimbingan, latihan dan khidmat sokongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.