
Jamaliah berkata hasil peningkatan cukai sebanyak 10 kali ganda dicadangkan Kementerian Kesihatan boleh digunakan untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan serta menangani kesan negatif terhadap kesihatan awam.

“Jika tidak cukai dikutip tidak akan memberi impak langsung dalam melancarkan tindakan penguatkuasaan, terutamanya apabila PBT kekurangan sumber dan tenaga kerja.
“Agihan hasil cukai vape kepada negeri dan PBT membolehkan tindakan penguatkuasaan serta pendidikan awam dilakukan dengan lebih menyeluruh, proaktif dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Selasa lalu yang kerajaan bercadang menaikkan cukai vape kepada RM4 per mililiter nikotin berbanding 40 sen ketika ini.
Jamaliah berkata antara usaha boleh dipertingkat termasuk operasi bersepadu terhadap premis menjual vape secara haram, khususnya kepada remaja dan pelajar sekolah, program kesedaran serta penyediaan rawatan pemulihan bagi individu ketagihan nikotin.
“Kerajaan negeri dan PBT juga memerlukan sokongan kewangan untuk membantu institusi pendidikan dan komuniti memantau penjualan vape di kawasan larangan,” katanya.
Jamaliah turut menegaskan pendirian Selangor selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan dalam isu kawalan produk vape, bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara seragam dan menyeluruh di semua peringkat.
“Jika kerajaan Persekutuan memilih memberi tumpuan terhadap aspek penguatkuasaan bagi tempoh tertentu sebelum pelaksanaan pengharaman sepenuhnya, Selangor akan turut memberikan kerjasama penuh berdasarkan Akta 852,” katanya.
Jamaliah juga menggesa KKM mempertimbangkan mekanisme kolaboratif yang lebih tersusun antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam isu pengawalan vape dengan mengambil kira pandangan serta keperluan tempatan.
“Kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, negeri dan PBT penting bagi membendung penjualan serta penggunaan vape secara berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.