
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu diambil selepas polis menilai faktor umur serta latar belakang remaja tersebut yang memerlukan perlindungan dan bimbingan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja itu mula terjebak dengan kegiatan itu selepas mengalami episod hitam dalam hidup, selain akibat tekanan hidup.
Tambahnya, remaja itu tinggal bersama bapa di Pasir Puteh selepas ibu bapanya berpisah.
“Kita tidak menolak kemungkinan wujud pihak mengambil kesempitan hidup remaja itu dan mengajarnya menggunakan Telegram untuk mencari pelanggan.
“Isu ini tidak boleh dilihat secara sempit sebagai perbuatan jenayah semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan pemulihan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang ke-56 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, hari ini, lapor Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan seorang ibu tunggal membuat laporan polis kerana mengesyaki anak perempuannya menawarkan perkhidmatan seksual melalui aplikasi tersebut.