Henti ‘buru’ Fahmi Reza, kumpulan hak asasi beritahu kerajaan

Henti ‘buru’ Fahmi Reza, kumpulan hak asasi beritahu kerajaan

Kempen gangguan dan penjenayahan kebebasan bersuara mesti dihentikan, kata Nalini Elumalai daripada Article 19.

Pereka grafik Fahmi Reza mengaku tidak bersalah pagi ini atas tuduhan menghina PAS menerusi imej grafik yang dimuat naik di Facebook.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi manusia mengecam tuduhan baharu kerajaan terhadap Fahmi Reza dengan melabelkannya sebagai “pemburuan berniat jahat” ke atas pereka grafik itu.

Nalini Elumalai daripada Article 19 menggesa kerajaan berhenti “mengganggu dan menakut-nakutkan” Fahmi yang dikenakan tuduhan selepas dikatakan menghina PAS dengan menyiarkan imej grafik di Facebook menunjukkan dua tin bir memaparkan logo parti itu.

“Penggunaan tuduhan jenayah bersifat balas dendam oleh kerajaan dalam usaha menakut-nakutkan Fahmi Reza hanya mendedahkan ‘pemburuan berniat jahat’ terhadapnya.

“Kempen gangguan dan penjenayahan (kebebasan) bersuara mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan.

Nalini berkata, kerajaan terus menjadikan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai “senjata” untuk membungkam suara pengkritik dan menyekat ekspresi artistik.

“Akta itu mesti dipinda untuk memastikan kebebasan bersuara tidak lagi digugat,” katanya.

Sementara itu, NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyuarakan sokongannya kepada Fahmi di Twitter dengan berkata, “Satira bukan satu jenayah”.

Pagi tadi, Fahmi mengaku tidak bersalah atas tuduhan baharu itu. Pihak pendakwaan berhujah bahawa beliau memuat naik hantaran itu pada 1 Jun 2021 dengan niat mengganggu orang lain.

Ini menyusuli satu lagi tuduhan minggu lepas bahawa dia menghina bekas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Twitter.

Ciapan itu menyentuh dasar Jemaah Menteri pada 2021 yang membenarkan menteri menjalani kuarantin selama tiga hari, berbanding 10 hari, selepas pulang dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.