Surat ganti rugi bertujuan melindungi orang ramai, kata MMA

Surat ganti rugi bertujuan melindungi orang ramai, kata MMA

Dr Koh Kar Chai berkata ia untuk melindungi pesakit yang akan mendapat pampasan jika perkara yang tidak diduga berlaku.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, dalam amalan perubatan, wajib untuk mempunyai surat pelepasan tuntutan ganti rugi
PETALING JAYA:
Surat pelepasan tuntutan ganti rugi yang perlu ditandatangani oleh semua orang adalah bagi membolehkan mereka diberi pampasan jika perlu, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, tiada vaksin yang benar-benar selamat dan kesan sampingan berikutan imunisasi (AEFI) seperti dilihat pada setiap vaksin.

“Insiden AEFI perlu dikaji untuk melihat kekerapan dan keseriusannya sebelum memutuskan sama ada manfaat vaksinasi mengatasi AEFI berkenaan. Ia adalah sama dengan mana-mana modaliti rawatan perubatan.

“Oleh itu dalam amalan perubatan, adalah wajib untuk mempunyai surat pelepasan tuntutan ganti rugi, bukan untuk melindungi pengamal tetapi untuk melindungi pesakit yang akan mendapat pampasan jika perkara yang tidak diduga berlaku,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak harus mewajibkan orang ramai menandatangani surat pelepasan tuntutan ganti rugi sekiranya ia yakin dos penggalak vaksin Covid-19 selamat.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa ramai orang memaklumkan bahawa terdapat penerima yang mengalami kesan buruk selepas menerima dos penggalak.

Koh berkata, kerajaan menyediakan skim pampasan untuk kecederaan yang disebabkan oleh vaksin Covid-19 pada awal 2021.

“Terdapat pampasan berjumlah RM50,000 untuk mereka yang mengalami AEFI dan perlu dimasukkan ke hospital. Sejumlah RM500,000 juga disediakan kepada mereka yang mengalami kecederaan kekal atau kematian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus meneruskan usahanya dalam menyediakan statistik kepada orang ramai mengenai AEFI dan juga Adverse Events of Special Interest (AESI) secara tetap, telus dan mudah diakses untuk meyakinkan orang ramai bahawa vaksin itu selamat.

“Setakat 31 Jan, terdapat hanya 64 (0.0005%) laporan AEFI yang serius daripada jumlah 11,938,201 dos penggalak yang diberikan,” katanya.

Katanya, orang ramai perlu diberi ruang bagi mendapatkan jawapan berhubung keraguan mereka.

Manakala itu peguam kesihatan PS Ranjan berkata: “Dokumen pelepasan tuntutan ganti rugi vaksin nampaknya mengikat secara sah ke atas mereka yang menerima vaksin. Walau bagaimanapun, penggunaan frasa ‘Saya bertanggungjawab atas sebarang risiko’ tidak bermakna apa-apa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.