
Pengarah JKDM Kelantan Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya menemui sebanyak 248 kotak besar mengandungi rokok seludup dalam serbuan pada jam 4 petang itu.
Beliau berkata, rokok yang dirampas bernilai RM496,000, manakala cukai yang terlibat adalah sebanyak RM1,686,400.
“Berdasarkan maklumat, modus operandi digunakan adalah dengan membawa masuk rokok terbabit melalui sempadan negara di Sungai Golok dan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“JKDM juga sedang mengesan pemilik rumah tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nasir menggesa orang ramai agar membantu memerangi jenayah penyeludupan seperti penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta menasihatkan mereka agar tidak terbabit dengan aktiviti itu.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram itu dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berdekatan selain memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.