PRN Johor: BERSIH gesa hadkan jawatan MB kepada 2 penggal

PRN Johor: BERSIH gesa hadkan jawatan MB kepada 2 penggal

BERSIH menggesa parti politik berjanji melakukan pembaharuan institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar, sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya mereka.

BERSIH turut mencadangkan parti politik menggubal enakmen prosedur pecat bertujuan memperkasakan kuasa pengundi memecat wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
BERSIH menuntut semua parti bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor melakukan pembaharuan, termasuk menghadkan jawatan Menteri Besar selama dua penggal sahaja.

Badan pemerhati pilihan raya itu juga mendesak parti politik menyahut “Cabaran Johor” sambil menjanjikan pembaharuan institusi sebagai sebahagian daripada manifesto masing-masing menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, antaranya menghadkan penggal jawatan tertinggi kerajaan itu.

“Ini bagi memberi laluan kepada calon Menteri Besar baharu supaya negeri sentiasa mempunyai pelapis kepimpinan kompeten dan bertenaga,” katanya dalam kenyataan.

BERSIH juga mahu parti politik menggubal enakmen prosedur pecat bertujuan memperkasakan ketuanan pengundi memecat wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan.

“Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti, sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat sama ada akan dipecat atau dikekalkan melalui kutipan petisyen dengan nilai ambang (threshold) yang tertentu,” katanya.

Katanya, selain itu, badan berkenaan juga mencadangkan pengenalan undi tidak percaya secara konstruktif dengan meminda perlembagaan negeri dan peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menetapkan menteri besar tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya turut dimasukkan nama penggantinya.

BERSIH ketika mengulas lanjut, berkata tiada pilihan raya baharu sekiranya menteri besar baharu dipilih menggunakan kaedah itu.

“Proses ini perlu berlaku dan dibuktikan di DUN. Hal ini dapat mengelakkan pembangkang yang berpecah-pecah menjatuhkan kerajaan apabila mereka sendiri tidak mempunyai majoriti,” katanya.

Selain itu, BERSIH turut mencadangkan pengenalan enakmen penggal tetap DUN yang memerlukan menteri besar mendapat sokongan dua pertiga sekiranya ingin membubarkan DUN sebelum mandat tamat.

Katanya, perlu ada penambahan kerusi bagi wanita bertujuan mencapai kuota 30% perwakilan wanita di DUN, sekiranya perwakilan wanita di DUN selepas PRN Johor kurang daripada 30% iaitu sekurang-kurangnya 17 daripada 56 kerusi.

BERSIH berkata, antara pembaharuan dicadangkan membabitkan penggubalan enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan wakil rakyat diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua ADUN sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Peruntukan yang berat sebelah hanya akan menghukum rakyat di kawasan tersebut dan menjadikan padang politik berat sebelah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Katanya, enakmen pendanaan awam kepada parti politik berdasarkan jumlah atau peratusan undi perlu dilaksanakan bertujuan mengurangkan fokus parti berkenaan mencari dana dalam mengoperasikan parti mereka.

“Justeru, membantu wakil rakyat mengkaji dan membangunkan polisi yang lebih baik. Hanya parti yang mencapai ambang tertentu akan menerima dana ini,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac dengan undi awal pada 8 Mac, selain penamaan calon pada 26 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.