KKM laksana pembaharuan tamat sistem doktor kontrak

KKM laksana pembaharuan tamat sistem doktor kontrak

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata perkhidmatan kesihatan awam hadapi dua cabaran struktur dari segi tenaga kerja, iaitu kekurangan bekalan dan pengagihan tidak sekata.

doctor
Semalam, Kementerian Kesihatan berkata situasi tenaga kerja dalam penjagaan kesihatan awam mencerminkan cabaran struktur diwarisi dan agihan kakitangan tidak sekata yang wujud sekian lama di seluruh negara. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berikrar melaksanakan pembaharuan struktur secara menyeluruh bagi menangani cabaran tenaga kerja berlarutan di seluruh negara, termasuk memansuhkan sistem kontrak doktor secara berperingkat.

Menterinya, Dzulkefly Ahmad menggariskan dua cabaran struktur utama yang menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam, iaitu kekurangan bekalan tenaga kerja dan pengagihan tidak sekata.

“Bagi menangani isu itu secara berkesan, KKM bergerak melangkaui langkah penyelesaian sementara yakni ke arah reformasi struktur menyeluruh,” katanya menurut Bernama dalam hantaran X.

Beliau berkata, antara pembaharuan digariskan ialah pemansuhan berperingkat sistem kontrak pegawai perubatan, mobilisasi wajib bagi memastikan pengagihan tenaga kerja lebih adil, penyelarasan latihan pegawai perubatan siswazah untuk percepat penyertaan dalam perkhidmatan serta meningkatkan kebajikan petugas kesihatan.

“Saya mengalu-alukan perbahasan matang mengenai perkara ini. Maklum balas membina amat penting bagi menambah baik sistem serta penyampaian penjagaan kesihatan awam kita, dan bagi memenuhi jangkaan rakyat belum dipenuhi.”

Semalam, KKM dilaporkan berkata, situasi sumber manusia merupakan manifestasi kepada cabaran struktur yang diwarisi serta ketidakseimbangan agihan tenaga kerja di seluruh negara.

Katanya, trend penurunan jumlah graduan perubatan memasuki pasaran kerja dipantau rapi dan penyusutan ini mencetuskan ‘reaksi berantai’ kepada kadar pengisian perjawatan di fasiliti kesihatan awam.

Menurut KKM, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 hospital latihan siswazah (HLS) di seluruh negara mencecah 53% hingga bulan ini, dengan hanya 6,500 daripada 12,198 slot diisi.

Menurutnya, situasi itu dijangka lebih kritikal bagi lantikan tahun ini, walaupun semua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi kira-kira 10% daripada kekosongan slot nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.