
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Azman Ayob berkata, operasi dijalankan sejak 4 Feb lalu dengan 139 pengunjung dan enam pemilik pusat hiburan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap orang.
Beliau berkata, hasil serbuan mendapati semua pusat hiburan tersebut melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 2021, iaitu aktiviti terlarang dalam pub serta kelab malam.
“Sebanyak RM139,000 kompaun dikenakan terhadap semua pengunjung manakala RM6,000 dikenakan ke atas enam pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sejak 1 Jan hingga kini, JPJKK mengeluarkan 280 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM280,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan kerana gagal mematuhi SOP Covid-19.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri bagi mengelak penularan kes yang masih tinggi.
“Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu menangani penularan wabak ini demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya.