Pendakwaan Fahmi: Adakah Peguam Negara cuba diamkan rakyat, soal pembantu Kit Siang

Pendakwaan Fahmi: Adakah Peguam Negara cuba diamkan rakyat, soal pembantu Kit Siang

Syahredzan Johan berkata keputusan Peguam Negara mendakwa pereka grafik itu amat dikesali dan tidak patut dilakukan.

Syahredzan Johan(kiri) berkata, pendakwaan terhadap Fahmi Reza memberi mesej bahawa Peguam Negara cuba membungkam suara rakyat dan menyempitkan ruang demokrasi.
PETALING JAYA:
Pendakwaan terhadap pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza atas tuduhan menghina bekas Menteri Kesihatan memberi mesej bahawa Peguam Negara berhasrat mendiamkan rakyat, kata setiausaha politik veteran DAP, Lim Kit Siang.

Syahredzan Johan berkata, keputusan Peguam Negara mendakwa Fahmi amat dikesali dan tidak patut dilakukan.

“Ia memberi mesej bahawa Peguam Negara membungkam suara rakyat dan menyempitkan ruang demokrasi buat rakyat.

“Apatah lagi apabila grafik tersebut secara asasnya adalah kritikan secara satira, bukannya perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan ketegangan kaum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, persepsi sedemikian memberi gambaran negatif terhadap institusi negara dan ia perlu dikendalikan dengan cermat oleh Jabatan Peguam Negara.

“Hak rakyat untuk mengkritik kerajaan harus dihormati,” katanya.

Fahmi hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba menerusi hantaran Twitter yang dimuat naik pada 10 Feb 2021.

Hakim membenarkan Fahmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada 2019, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan ke atas Fahmi berhubung karikatur badut bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam pada itu, Syahredzan mempersoalkan jika pendakwaan ke atas Fahmi ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) Johor memandangkan Adham adalah Ketua Penerangan Umno negeri.

Beliau menggesa semua parti dalam kerajaan supaya menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan “pendakwaan terhadap individu yang pada asasnya hanya mengkritik tindakan kerajaan”.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia menerusi Twitter berkata, undang-undang tidak boleh digunakan untuk menindas perbezaan pendapat dan kritikan secara aman.

“Seni dan sindiran perlu untuk hidup dalam masyarakat yang terbuka dan adil. Kami menggesa pihak berkuasa segera menggugurkan semua pertuduhan terhadap Fahmi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.