
Ketua Penerangannya Luqman Long berkata, catatan itu tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.
“Saya telah menerima satu catatan Facebook daripada MUDA Kedah pada lewat malam semalam.
“Catatan ini jelas menimbulkan salah faham kepada orang ramai serta tidak mematuhi prinsip yang jelas dalam MUDA,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu satu catatan di Facebook MUDA Kedah tentang rasuah yang menampilkan bendera PH, PKR, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam catatan itu tertulis “Jangan biarkan korupsi binasakan institusi negara”, bagaimanapun catatan itu telah diturunkan di Facebook MUDA Kedah.
Dalam pada itu, Luqman berkata, perbincangannya dengan Penerangan MUDA Kedah turut mendapati catatan itu juga tidak mendapat kebenaran dan sengaja dibuat dengan niat yang tidak baik.
Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu dan membuat keputusan untuk menggantung Penerangan MUDA Kedah daripada sebarang aktiviti berkaitan MUDA.
“Ini sama sekali tidak menafikan bahawa kekhilafan pihak saya telah mengeruhkan hubungan yang baik antara MUDA dan rakan-rakan pembangkang yang lain.
“Maka saya memohon maaf atas kejadian yang tidak diingini ini dan bersedia mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan MUDA atas apa-apa keputusan dan tindakan disiplin oleh MUDA Nasional,” katanya.