Amirudin tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN, jelas setiausaha akhbar

Amirudin tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN, jelas setiausaha akhbar

Jay Jay Denis berkata apa yang dinyatakan oleh menteri besar Selangor itu adalah pendirian dan komitmen PKR yang menganggap Muda sebagai rakan kerja.

Setiausaha akhbar Amirudin Shari berkata, ketua PH Selangor hanya berkata rundingan dengan Muda akan ditentukan oleh PH dengan fahaman bahawa PH dan Muda adalah rakan sekerja susulan kerjasama dalam PRU ke-15.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tidak pernah berkata bahawa Muda akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN di negeri itu, kata seorang pembantu Amirudin.

Setiausaha akhbarnya, Jay Jay Denis berkata apa yang dinyatakan oleh Amirudin adalah pendirian dan komitmen PKR sehingga kini yang menganggap Muda sebagai rakan kerja susulan kerjasama dalam PRU ke-15.

“Apabila ditanya oleh wartawan sama ada Pakatan Harapan akan berunding dengan Muda dalam PRN Selangor yang akan datang, menteri besar menjawab bahawa rundingan dengan Muda akan ditentukan oleh PH dengan fahaman bahawa PH dan Muda adalah rakan sekerja.

“Amirudin juga tidak bercakap bagi pihak Muda. Saya berharap kenyataan ini dapat diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau meminta agar Muda berhenti dari menampilkan politik yang tidak matang dan membuat semakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kalau nak main politik pun, paling kurang semaklah fakta,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long, berkata kenyataan dikeluarkan Amirudin yang Muda akan meneruskan kerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang adalah tidak benar.

Katanya, setakat ini tiada rundingan dibuat bersama PH berhubung kerjasama, jumlah kerusi dan kawasan akan ditandingi pada PRN.

Beliau merujuk hantaran Facebook PKR yang memetik Amirudin sebagai berkata: “Muda akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRN”.

Bagaimanapun, hantaran itu kemudiannya dipadamkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.