Muda segerakan pemilihan kepimpinan parti

Muda segerakan pemilihan kepimpinan parti

Pemilihan parti disegerakan bertujuan memberi 'nafas dan muka baharu' kepada parti susulan kekalahannya pada PRN Sabtu lepas, katanya.

Muda berkata, sesi pascanilai berhubung prestasinya pada PRN lepas akan diadakan pada 26 Ogos.
PETALING JAYA:
Muda akan menyegerakan pemilihan bagi jawatan kepimpinan utamanya berikutan prestasi hambar parti itu pada PRN hujung minggu lepas.

Dalam kenyataan, Muda berkata, sesi pascanilai berhubung prestasinya pada pilihan raya akan diadakan pada 26 Ogos.

“Muda telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat pada 18 Ogos, dihadiri oleh pimpinan nasional dan negeri.

“Fokus utama mesyuarat ini adalah berkenaan prestasi Muda pada PRN, pengosongan jawatan utama serta pemilihan parti,” katanya.

Tambahnya, Luqman Long telah mengosongkan jawatannya sebagai ketua penerangan, dan pemangku baharu bagi jawatan itu akan dihebahkan dalam masa terdekat

Parti itu menetapkan agar pemilihan parti disegerakan bertujuan memberi “nafas dan muka baharu (kepada) parti dalam usaha membina Muda dengan lebih baik”. Bagaimanapun, tarikh pemilihan tersebut tidak dinyatakan.

Ahad lepas, seorang ahli Muda menggesa parti itu menjalankan pemilihan kepimpinan berikutan kekalahannya di semua 19 kerusi ditandingi pada PRN, dengan kesemua calon hilang wang deposit.

Danial Jafri dilaporkan berkata, gesaan agar pemilihan parti diadakan adalah konsisten dengan tuntutan akar umbi agar masalah dalaman parti itu ditangani dan struktur parti ditambah baik.

Beliau turut menggesa jawatankuasa eksekutif pusat bertanggungjawab atas kekalahan parti itu pada pilihan raya, dan berundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.