
Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, gaji rendah untuk graduan baharu dan peningkatan guna tenaga tidak penuh adalah saling berkaitan dan sebahagiannya disebabkan oleh “pendidikan tinggi secara besar-besaran”.
“Peningkatan akses kepada pendidikan tinggi sebenarnya menjana dua fenomena tambahan, iaitu penurunan kualiti pendidikan itu sendiri dan penurunan nilai sijil pendidikan,” katanya.
Isu gaji minimum hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, gaji “sekitar RM1,500 sebulan” dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
Sebagai respons, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia berkata, cadangan kenaikan itu akan mengakibatkan perniagaan, yang sedang pulih daripada impak wabak Covid-19 akan gulung tikar.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Putrajaya menaikkan gaji minimum menjelang suku kedua berbanding akhir tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini CME berkata, gaji minimum harus ditentukan oleh kuasa pasaran dan kebebasan tertentu harus dibenarkan untuk buruh tidak mahir bertukar majikan.
Katanya lagi, “dalam komuniti di mana semua orang memiliki ijazah, nilai marginal ijazah merosot dan ia tidak lagi menjadi isyarat kepada majikan tentang nilai bakal pekerja”.
“Justeru nilai itu perlu ditemukan semasa tempoh latihan yang akan dibayar kurang daripada gaji purata kerana ijazah tidak mengandungi maklumat yang lebih relevan tentang nilai pekerja.”
Sehubungan itu katanya, satu pembaharuan pendidikan harus dirangka yang bertujuan untuk “menurunkan bilangan graduan berpendidikan tinggi”.
“Pendidikan menengah sepatutnya sudah melayakkan, sebagai persiapan bagi pekerjaan pentadbiran dan teknikal, manakala pendidikan tinggi hanya bagi kelayakan yang memerlukan tahap kemahiran yang sangat tinggi.
“Dengan cara ini, jangkaan palsu akan dapat dielakkan dan kebanyakan ahli profesional dapat menyertai tenaga buruh dari awal,” katanya.
Akhir sekali kata CME, inflasi adalah fenomena monetari dan kegagalan menyedari perkara ini akan membawa kepada analisis yang mengelirukan dan dasar yang silap.
“Terlalu banyak wang mengejar terlalu sedikit barangan adalah hasil kuantiti lebihan wang yang dicipta untuk menangani kerosakan akibat perintah sekatan.
“Ada keperluan bagi pelan pemotongan perbelanjaan kerajaan secara beransur-ansur untuk membendung inflasi dan cuba meminimumkan kesan dasar sekatan yang kini tidak dapat dielakkan,” katanya.