Fokus pengesahan digital MyKad, pasport baharu, kata ahli akademik

Fokus pengesahan digital MyKad, pasport baharu, kata ahli akademik

Ahmad Wiraputra Selamat dari UPSI berkata pengesahan digital dapat bina ketahanan terhadap pemalsuan identiti.

mykad n passport
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 8 Jan lalu berkata pertukaran wajah baharu MyKad dan pasport dijangka bermula seawal suku kedua tahun ini.
PETALING JAYA:
Pembaharuan MyKad dan pasport perlu memfokuskan ciri keselamatan tambahan untuk pengesahan digital serta elemen fizikal selaras perkembangan teknologi, kata ahli akademik.

Ahmad Wiraputra Selamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, perubahan itu menandakan peralihan daripada sistem identiti tradisional kepada digital yang lebih pintar dan sukar dimanipulasi.

Katanya, kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada pengesahan digital dan elemen fizikal untuk membina ketahanan terhadap pemalsuan identiti.

“Selain itu, langkah ini dapat mengurangkan risiko ‘identity fraud’ yang sering menjadi punca masalah keselamatan siber serta penyalahgunaan manfaat sosial. Pelaksanaan sistem bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja melindungi warganegara, malah meningkatkan integriti data pada skala nasional,” kata pensyarah kanan Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi UPSI kepada FMT.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, transformasi itu turut membawa cabaran besar, terutama dari segi perlindungan data peribadi dan penyimpanan biometrik.

“Kerajaan dan pihak berkepentingan mesti memastikan data rakyat disulitkan mengikut standard tinggi, diurus berdasarkan prinsip privasi yang ketat, dan dilindungi daripada kebocoran,” katanya.

Pada 8 Jan lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertukaran wajah baharu MyKad dan pasport dijangka bermula seawal suku kedua tahun ini.

Katanya, pembaharuan itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya bertujuan memperkukuh sistem keselamatan dokumen pengenalan negara serta mengelakkan risiko ancaman pemalsuan.

Pakar siber Muhidin Arifin pula mencadangkan kerajaan meningkatkan keselamatan MyKad, khususnya pada bahagian belakang dokumen itu.

Ketua pegawai operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) itu berkata, pembaharuan MyKad dan pasport membolehkan pihak berkuasa mengesahkan kesahihan kad tanpa perlu membacanya secara manual.

“MyKad baharu perlu lebih daripada sekadar dokumen; ia adalah perisai warganegara Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.