
Pengerusinya, Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya memandang serius kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.
“MARA telah memulakan siasatan lanjut di MARA Corp bagi meneliti dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik. Keseluruhan anak syarikat MARA dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016.
“Justeru, MARA sentiasa mengutamakan amalan integriti dalam organisasi berteraskan nilai integriti yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Surat tersebut tular dalam Twitter Edisi Khas yang mendedahkan hal berkaitan integriti beberapa pegawai MARA yang dipinjamkan secara ‘Cross Fertilisation Program’ kepada MARA Corporation Sdn Bhd.
Sehubungan itu, Azizah berkata, sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan.