
Lalitha Kunaratnam berkata, perkataan yang dipertikaikan itu jika diletakkan dalam konteks bersesuaian, mempunyai makna semula jadi dan biasa, bukannya mengandungi unsur fitnah seperti disebutkan oleh Azam dalam penyataan tuntutannya.
Katanya, sekiranya perkataan itu mengandungi unsur memfitnah, maka dia akan bergantung pada pembelaan pelaporan neutral, kelayakan istimewa, “keistimewaan Reynolds”, ulasan adil, justifikasi dan beberapa peruntukan mengikut Akta Fitnah.
Lalitha, yang memfailkan penyataan pembelaan menerusi Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam berkata, artikel berkenaan diterbitkan dalam portal ‘Independent News Service (INS)’ adalah bersandarkan pelaporan neutral dan adil berasaskan kajian yang dilakukan.
“Intipati pelaporan neutral adalah penerbitan maklumat berdasarkan kepentingan awam,” katanya.
Lalitha berkata, artikel yang diterbitkan itu merakamkan fakta di mana berlakunya dakwaan yang dikatakan fitnah itu.
Katanya, “keistimewaan Reynolds” diperlukan sebagai respons kepada keperluan orang awam mendapatkan maklumat dan juga keperluan orang awam mendapat kemas kini membabitkan komen dan berita berhubung isu yang mengundang kebimbangan nasional.
“Justeru defendan mempunyai keabsahan kepentingan awam dan tanggungjawab untuk menerbitkan dan orang awam mempunyai kepentingan untuk menerimanya,” katanya.
Beliau berkata, artikel yang dirujuk adalah perkara berkaitan kebimbangan umum untuk diterbitkannya dalam portal INS.
“Pihak defendan juga bergantung pada Seksyen 12(1) Akta Fitnah dalam menyatakan bahawa penerbitan artikel yang didakwa itu mempunyai keistimewaan,” katanya.
Katanya, tiada sebarang niat jahat di pihaknya seperti didakwa Azam dalam penyataan tuntutannya.
“Defendan menafikan setiap satu dakwaan yang dikemukakan plaintif dalam penyataan tuntutannya,” katanya selain menambah bahawa saman berkenaan sepatutnya ditolak dengan kos.
Dalam pernyataan tuntutan Azam yang difailkan 12 Jan lalu, beliau mendakwa defendan mengarang dua artikel bertajuk “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian 1) dan “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?” (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan oleh Lalitha dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel itu diterbitkan semula pada 15 Dis lalu.
Plaintif mendakwa defendan turut berkongsi pautan artikel itu di Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kedua-dua artikel itu masih boleh diakses sekarang.
Azam mendakwa tajuk artikel itu sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif ialah penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.
Selain kedua-dua artikel dan ciapan di Twitter, plaintif mendakwa defendan turut membuat ciapan dengan menerbitkan semula kenyataan media peguamnya, Manjeet Singh Dhillon pada 9 Jan lalu.
Azam mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau memiliki saham dan waran bernilai jutaan ringgit dengan wang pembelian saham dan waran diperoleh secara salah serta plaintif membuat pelaburan jutaan ringgit dalam tempoh singkat, selain tidak mengisytiharkan pembelian saham dan waran terbabit semasa beliau memegang jawatan Pengarah Siasatan SPRM.
Selain itu, plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud beliau dan adiknya melalui syarikat RI Intelligence Sdn Bhd terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti rahsia yang bercanggah di sisi undang-undang.
Dakwa Azam, penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah itu diterbitkan semula, selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.
Turut dituntut ialah ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.