Johor bukan Melaka, perlu strategi PRN lebih baik, Tok Mat beritahu BN

Johor bukan Melaka, perlu strategi PRN lebih baik, Tok Mat beritahu BN

Strategi lebih baik termasuk berkenaan peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen, kata Pengarah Pilihan Raya Johor BN itu.

Mohamad Hasan berkata, bukan mudah bagi Barisan Nasional untuk menang pada PRN Johor.
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) diingatkan bahawa memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor bukan sesuatu yang mudah, menurut Pengarah Pilihan Rayanya, Mohamad Hasan.

“Silap jika anggap ia mudah kerana ini berbeza dengan PRN Melaka. Kita perlu strategi lebih baik, termasuk berkenaan peruntukan kerusi dalam kalangan parti komponen BN,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di sini.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata beliau tidak mahu jentera BN menganggap akan menang mudah hanya kerana telah berjaya di Melaka.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka 20 Nov lepas.

Beliau berkata, isu peruntukan kerusi dan strategi yang akan digunakan akan dibincangkan di Majlis Tertinggi BN. Tambahnya, BN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada 23 Jan, DUN Johor dibubarkan kerana majoriti kerajaan berkurang kepada satu kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Osman Sapian daripada Bersatu, pada Disember.

Turut hadir pada rumah terbuka anjuran Presiden MCA Wee Ka Siong itu adalah bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tetamu lain termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.